Spekulasi politik mula bertiup kencang apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Zulkifli Hasan dilihat semakin aktif turun padang di Parlimen Hulu Selangor sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Perkembangan itu mencetuskan persoalan jika tokoh akademik dan pendakwah berkenaan sedang dipersiapkan sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Menurut sumber parti yang rapat dengan kepimpinan tertinggi PKR, terdapat “isyarat” daripada pucuk pimpinan supaya Zulkifli mempergiatkan gerak kerja di kawasan berkenaan sebagai persediaan awal menjelang pilihan raya umum akan datang.
"Memang ada isyarat arahan daripada pucuk pimpinan supaya Zulkifli mula bergerak aktif di Hulu Selangor.

"Ini adalah antara kawasan yang menjadi tumpuan kerajaan untuk menawan semula daripada PN pada pilihan raya akan datang.
"Dia bukan sahaja dilihat hadir, malah turut membawa pelbagai program bantuan kebajikan dan keagamaan. Ini satu strategi untuk menambat hati pengundi di sini," kata sumber itu kepada Malaysiakini.
Zulkifli yang dilantik sebagai menteri pada 16 Disember 2025 sebelum ini dikenali sebagai tokoh akademik dan penulis.
Dia pernah memegang beberapa jawatan penting dalam bidang pendidikan tinggi termasuk Timbalan Rektor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), selain aktif dalam pelbagai jawatankuasa berkaitan syariah, halal dan pendidikan.
Malaysiakini telah cuba mendapatkan reaksi Zulkifli dan PKR pusat berhubung spekulasi tersebut namun belum menerima maklum balas setakat berita ini ditulis.
Kerusi panas sejak 2008
Parlimen Hulu Selangor sejak sekian lama dikenali sebagai kerusi persaingan sengit yang sering bertukar tangan antara PKR, Barisan Nasional (BN) dan kini Perikatan Nasional (PN).
Pada PRU 2008, kerusi itu dimenangi Zainal Abidin Ahmad daripada PKR selepas menewaskan calon Malaysian Indian Congress (MIC), mendiang G Palanivel.
Bagaimanapun, pada pilihan raya kecil 2010 susulan kematian Zainal, calon PKR Zaid Ibrahim tewas tipis kepada calon BN daripada MIC, P Kamalanathan dengan majoriti 1,725 undi.
Kamalanathan kemudian mempertahankan kerusi itu pada PRU13 selepas menewaskan calon PKR, Khalid Jaafar.

Gelombang reformasi pada PRU14 pula menyaksikan June Leow Hsiad Hui daripada PKR berjaya merampas semula kerusi berkenaan daripada BN.
Namun, pada PRU15 calon PN Mohd Hasnizan Harun menang tipis pada pertandingan enam penjuru dengan majoriti 1,569 undi.
Dia memperoleh 46,823 undi menewaskan calon PH daripada PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan yang meraih 45,261 undi manakala calon BN, T Mohan memperoleh 27,050 undi.
Parlimen itu kini mempunyai kira-kira 140,000 pengundi dan dikategorikan sebagai kerusi campuran dengan komposisi 63.4 peratus Melayu, 17.8 peratus Cina, 14.9 peratus India dan selebihnya terdiri daripada Orang Asli serta komuniti lain.
Laporan analisis strategik PRU16 Malaysiakini sebelum ini turut meletakkan Hulu Selangor dalam kategori Tier 2B atau kerusi marginal.
Program kebajikan
Semakan Malaysiakini di media sosial mendapati sejak Februari lalu, Zulkifli telah menghadiri sekurang-kurangnya dua hingga tiga program berskala besar di kawasan Parlimen Hulu Selangor.
Pada 27 Februari 2026, dia mengadakan lawatan kerja ke Darul Quran di Kuala Kubu Bharu dengan menyantuni masyarakat Orang Asli dan pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), selain menyampaikan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah.
Pada 17 Mac pula, dia kembali ke kawasan itu bagi merasmikan program Ihya Ramadan di Kampung Orang Asli Bukit Manchung serta menyampaikan sumbangan kepada penduduk setempat.
Kekerapan kemunculan menteri kabinet yang juga dikenali sebagai pendakwah dan personaliti media itu mula mencuri perhatian pemerhati politik tempatan, sekali gus menguatkan spekulasi mengenai kemungkinan beliau diturunkan di Hulu Selangor pada PRU16 nanti.

Ketika dihubungi, Ketua Cabang PKR Hulu Selangor Sathia Prakash (gambar atas) yang juga bekas calon pilihan raya parlimen itu mengesahkan Zulkifli memang kerap hadir mengadakan program di kawasan parlimen tersebut.
"Sudah tentu, dia sering datang ke sini dan setiap program yang mereka aturkan, sejujurnya saya katakan, mereka sebenarnya menjemput saya untuk turut serta. Jadi, ia terbuka.
"Maksud saya, Hulu Selangor mengalu-alukan semua orang, terutama kementerian, kerana kami mengalu-alukan semua kementerian.
"Namun, jika anda perhatikan, menteri agama itu bukan daripada mana-mana parti politik. Dan saya tidak pasti sama ada dia sudah menjadi ahli parti PKR. Mungkin saya silap. Setakat yang saya tahu, dia tiada dalam mana-mana parti dan saya rasa dia tidak mempunyai jentera parti di Hulu Selangor setakat ini," katanya.

Sementara itu, Sathia berkata keutamaannya untuk memastikan rakyat Hulu Selangor terus menerima bantuan dan perhatian sewajarnya.
"Seperti yang anda tahu, dua puluh peratus daripada negeri Selangor adalah parlimen Hulu Selangor. Maknanya, secara praktiknya kita adalah satu perlapan daripada keseluruhan saiz negeri Selangor. Dan ia lebih besar daripada negeri Melaka.
"Jadi, matlamat utama saya, biarlah sesiapa pun datang. Kami sanggup bekerjasama asalkan rakyat Hulu Selangor dijaga. Itulah matlamat utama kami. Tetapi apa pun yang terjadi, saya rasa rakyat Hulu Selangor tahu siapa yang patut mereka undi. Kerana perkara yang paling penting adalah siapakah yang kekal.
"Walaupun saya kalah pada pilihan raya yang lalu, saya sentiasa ada di sini. Dan kami sentiasa melakukan kerja kami di peringkat akar umbi. Dan rakyat tahu satu perkara, mereka mahu seseorang yang kekal. Mana-mana calon atau mana-mana orang yang dipilih oleh rakyat, mereka mahu orang itu sentiasa ada di sini.
"Mereka tahu siapa yang akan kekal di sini selamanya untuk membantu rakyat. Itulah perkara yang paling penting," tambahnya.
