Pemuda PKR (AMK) hari ini menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak sepatutnya memperalatkan platform mahasiswa bagi memenuhi kepentingan politik peribadi.
Kenyataan itu hadir susulan dakwaan daripada pihak yang menamakan diri mereka sebagai Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM), yang mendakwa majoriti pimpinan organisasi itu telah hilang kepercayaan terhadap PKR di bawah teraju Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Ketua Penerangan AMK Danish Hairudin berkata, kenyataan tersebut cuba mencetuskan kekeliruan terhadap kepimpinan parti dan perdana menteri.

"Daripada maklum balas awal yang diterima, kenyataan tersebut tidak pernah dibincangkan dan diputuskan secara kolektif dalam kalangan pimpinan serta jaringan MKM sendiri di seluruh negara.
"Hakikatnya kenyataan tersebut bukan sahaja tidak melalui proses organisasi yang teratur, malah perkara ini telah dijawab secara tegas oleh setiausaha agung MKM serta pimpinan dan pengerusi-pengerusi MKM kampus universiti seluruh negara yang menafikan kenyataan tersebut sebagai pendirian rasmi organisasi.
"Ini membuktikan bahawa tindakan beberapa kerat individu menggunakan platform mahasiswa untuk membawa agenda tertentu tidak mewakili suara majoriti mahasiswa PKR," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Danish menambah bahawa Pemuda PKR juga memandang serius bahawa kenyataan tersebut tidak pernah melalui proses perbincangan dan pemutusan secara kolektif dalam kalangan pimpinan serta jaringan MKM di seluruh negara.

Semalam, MKM dikata mengeluarkan kenyataan kepada Malaysiakini dengan menyebut bahawa selepas menilai hala tuju parti, mereka percaya PKR semakin tersasar daripada semangat reformasi asal.
Namun, kurang sejam kemudian, setiausaha agung sayap itu, Aqeef Salih tampil menafikan kenyataan tersebut.
Mengulas lanjut, Danish berkata sejak awal penubuhannya, ruang autonomi dan kebebasan telah diberikan selaras dengan prinsip gerakan mahasiswa yang bebas, kritikal dan matang termasuk terhadap pihak yang dekat dengan parti sendiri.
"Namun kebebasan itu tidak boleh dijadikan untuk melakukan sabotaj dalaman, mencipta persepsi murahan dan memperalatkan nama organisasi bagi memenuhi percaturan politik individu tertentu," katanya.
PKR menubuhkan MKM pada 2012 bagi mewakili suara mahasiswa universiti awam dan swasta.

Sejak ditubuhkan, MKM secara konsisten memperjuangkan isu berkaitan kebajikan pelajar, kebebasan akademik dan keadilan sosial.
MKM sebelum ini juga dikenali kerana pendiriannya yang lantang terhadap dasar kerajaan yang dilihat mengekang kebebasan bersuara di kampus.
Beberapa demonstrasi dan kempen kesedaran turut dianjurkan di seluruh negara bagi menyokong agenda reformasi.
