Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sayap siswa PKR hilang keyakinan pada Anwar: Setiausaha MKM nafi
1

kemaskini 11:17 malam | Kurang sejam selepas sayap mahasiswa Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) mengeluarkan kenyataan mendakwa hilang keyakinan terhadap parti di bawah pimpinan Anwar Ibrahim, setiausaha agung sayap itu, Aqeef Salih tampil menafikannya.

Terdahulu, MKM mengeluarkan kenyataan kepada Malaysiakini menyatakan selepas menilai hala tuju parti, mereka percaya PKR semakin tersasar daripada semangat reformasi asal.

“Parti yang suatu ketika dahulu membawa semangat reformasi, keberanian melawan penyalahgunaan kuasa dan perjuangan membela suara rakyat kini semakin jauh daripada prinsip perjuangan asal.

"Ianya pernah diyakini oleh ramai anak muda dan mahasiswa, tetapi kini kami hilang keyakinan," menurut kenyataan yang turut dimuat naik di akaun Instagram rasmi MKM.

Bagaimanapun, Aqeef menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya berkata kenyataan media terdahulu itu tidak mewakili pendirian rasmi sayap berkenaan.

“Kenyataan tersebut tidak pernah dibincangkan, dipersetujui atau diputuskan melalui saluran rasmi MKM. Ia hanyalah tindakan beberapa kerat individu dalam pimpinan pusat yang mempunyai agenda tersendiri dan mengambil kesempatan menggunakan platform MKM untuk menimbulkan kekeliruan serta persepsi negatif terhadap organisasi.

“Lebih memalukan, kenyataan tersebut langsung tidak disertakan nama dan jawatan individu yang bertanggungjawab mengeluarkannya. Ini jelas menunjukkan ia dibuat secara tidak profesional, tidak bertanggungjawab dan berniat tidak baik.

"Mana-mana pihak yang benar-benar berani dengan pendirian sendiri sepatutnya tampil secara terbuka, bukannya berselindung di sebalik nama organisasi mahasiswa,” katanya.

Aqeef berkata MKM sentiasa menjunjung disiplin organisasi, etika perjuangan dan proses demokrasi yang matang, sambil menegaskan pandangan peribadi tidak boleh dijadikan pendirian rasmi sayap tanpa mandat serta persetujuan bersama.

“MKM tidak akan sesekali membenarkan platform perjuangan mahasiswa diperalat untuk kepentingan politik individu tertentu.

"MKM sebagai sayap mahasiswa PKR akan sentiasa menghormati institusi presiden dan menyokong penuh kepimpinan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Sehubungan itu, pihak sekretariat akan meneliti perkara ini dengan serius termasuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan nama Mahasiswa Keadilan Malaysia tanpa kebenaran.

"MKM akan terus kekal fokus membawa suara mahasiswa dengan penuh tanggungjawab, prinsip dan integriti,” tambahnya.

Kenyataan awal yang menyatakan hilang keyakinan terhadap Anwar turut menyeru seluruh anak muda dalam PKR, khususnya mahasiswa, supaya menilai semula pendirian masing-masing.

"Kami menyeru agar semua pihak bermuhasabah dengan jujur tentang hala tuju perjuangan yang sedang dibawa hari ini.

"Kesetiaan kepada perjuangan tidak seharusnya mengatasi keberanian untuk mempertahankan prinsip," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, seorang jurucakap MKM turut memberitahu Malaysiakini bahawa satu sidang media akan diadakan esok bagi mengumumkan secara rasmi hala tuju baru mereka.

“Sidang media... itu akan menyentuh secara terperinci pendirian rasmi MKM serta langkah seterusnya selepas perkembangan semasa melibatkan PKR dan kepimpinannya," katanya.

PKR menubuhkan MKM pada 2012 bagi mewakili suara mahasiswa universiti awam dan swasta.

Sejak ditubuhkan, MKM secara konsisten memperjuangkan isu berkaitan kebajikan pelajar, kebebasan akademik dan keadilan sosial.

MKM sebelum ini juga dikenali kerana pendiriannya yang lantang terhadap dasar kerajaan yang dilihat mengekang kebebasan bersuara di kampus.

Beberapa demonstrasi dan kempen kesedaran turut dianjurkan di seluruh negara bagi menyokong agenda reformasi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS