Seorang wakil rakyat DAP mengingatkan kerajaan bahawa label kumpulan pendapatan tidak semestinya mencerminkan keadaan kewangan sebenar seseorang.
Ahli parlimen Kepong Lim Lip Eng menegaskan sebarang rancangan menarik balik subsidi penuh bahan api bagi kumpulan berpendapatan tinggi T20 mesti disokong dengan mekanisme yang kukuh dan berkesan.
Katanya, kerajaan tidak boleh melakukan kesilapan dengan hanya melihat pendapatan tanpa mengambil kira perbelanjaan kehidupan sebenar.
Lim juga menggesa kerajaan terlebih dahulu menjelaskan mekanisme penuh secara terperinci, termasuk siapa yang akan terkesan, bagaimana pendapatan akan dinilai dan jika beban isi rumah, kos sara hidup, tanggungan, pinjaman serta keperluan perjalanan harian akan diambil kira.

“Kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan label seperti T20, T15, T10 atau T5 dan mengharapkan rakyat tidak panik.
“Pendapatan tinggi tidak bermaksud kaya. Sebuah isi rumah yang melepasi garis T20 nasional masih boleh bergelut teruk di Kuala Lumpur, Selangor atau Lembah Klang selepas membayar kos perumahan, pinjaman kereta, pendidikan anak-anak, insurans, ibu bapa warga emas dan kos sara hidup harian.
“Mereka bukan jutawan. Mereka adalah keluarga kelas menengah biasa yang bekerja keras sekadar untuk terus bertahan,” tambah Lim.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini berkata kerajaan pada prinsipnya bersetuju menarik balik subsidi bahan api daripada golongan berpendapatan tinggi, namun masih memperincikan mekanismenya.

Menurut perdana menteri, kerajaan sedang meneliti aspek kelayakan bagi memastikan langkah itu tidak membebankan golongan berpendapatan pertengahan atasan.
Bagaimanapun, Putrajaya mengakui berdepan cabaran dalam melaksanakan subsidi bersasar RON95, khususnya bagi memastikan bantuan hanya sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir berkata kerajaan masih bergelut menentukan ambang kelayakan bagi skim subsidi Budi95, khususnya berkaitan kumpulan berpendapatan sederhana M40.
Padu untuk apa?
Katanya, perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara baru-baru ini, apabila Anwar mengulangi komitmen Putrajaya untuk melaksanakan subsidi bersasar.
Ahli parlimen Johor Bahru itu berkata kerajaan masih belum memutuskan sama ada Pangkalan Data Utama (Padu) akan digunakan untuk mengklasifikasikan individu dalam kategori berpendapatan tinggi T20.
Sementara itu, Lim turut mempersoalkan penubuhan Padu oleh kerajaan dan mengingatkan pentadbiran bahawa sistem itu menelan kos RM85.27 juta untuk dibangunkan dan dilaksanakan, maka ia “tidak boleh dijadikan sekadar hiasan”.
“Jika keputusan akhir masih dibuat berdasarkan label umum tanpa penilaian sewajarnya, maka apa gunanya Padu?

“Kerajaan mesti menjawab persoalan asas. Adakah pemotongan dibuat berdasarkan pendapatan individu atau pendapatan isi rumah?
“Adakah lokasi tempat tinggal sesebuah keluarga akan diambil kira?
“Adakah jumlah anak, ibu bapa warga emas, pinjaman rumah, pinjaman kereta dan jarak perjalanan harian akan dipertimbangkan?
“Jika persoalan ini tidak dapat dijawab dengan jelas, maka kerajaan belum bersedia melaksanakan dasar ini,” tambah Lim.

Dia juga mengingatkan kerajaan bahawa rakyat Malaysia bukan menolak reformasi, sebaliknya menolak perubahan yang tidak adil, tidak jelas dan cuai.
Lim turut memberi amaran bahawa “mangsa terbesar” dasar yang dirancang itu mungkin keluarga kelas menengah yang berada sedikit di atas garis kelayakan.
“Mereka memperoleh sedikit lebih banyak di atas kertas, tetapi beban mereka masih berat. Kerajaan melihat angka, bukan tekanan,” tambahnya.
Lim berkata golongan berpendapatan kelas menengah sudah pun menanggung cukai tinggi, kos sara hidup yang meningkat, tekanan perumahan dan perbelanjaan pendidikan, serta mereka tidak sepatutnya menjadi sasaran mudah setiap kali kerajaan mahu berjimat.
“Jangan jadikan kelas menengah sebagai ATM kerajaan.
“Rakyat yang bekerja keras, memperoleh pendapatan lebih baik dan meningkatkan taraf hidup sepatutnya digalakkan, bukan dihukum. Jika rakyat Malaysia mula percaya bahawa semakin kuat mereka bekerja, semakin banyak yang mereka rugi, negara akan membayar harga yang mahal.
“Hentikan mencipta ketakutan dengan piawaian yang tidak jelas,” tegas Lim.
