Rimbawatch kesal JAS hadkan akses muat turun laporan EIA
NGO pemantau alam sekitar RimbaWatch mengkritik cara Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengendalikan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), dengan membangkitkan kebimbangan berpanjangan berhubung ketelusan dan akses awam.
Pengarah RimbaWatch Adam Farhan berkata kumpulan itu berdepan masalah berulang kali ketika cuba mengakses dokumen EIA melalui pangkalan data dalam talian JAS.
“Dalam kerja kami, kami berdepan sejarah panjang ketidaktelusan EIA.
“Sebagai contoh, pangkalan data EIA JAS kadangkala tidak dapat diakses, ia hanya kembali sehingga 2 Februari 2024 dan tidak memasukkan butiran penting seperti kedudukan jadual mana yang merujuk kepada sesuatu EIA.

“Selain itu, pangkalan data EIA hanya memaparkan tajuk EIA, dan tiada kandungan laporan tersebut tersedia kepada umum, termasuk ringkasan eksekutif,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Pada 14 Sept 2023, Malaysiakini melaporkan Putrajaya secara senyap membolehkan orang ramai memuat turun salinan laporan EIA yang dikemukakan kepada JAS sejak 4 Sept tahun sama.
Ketika itu, bekas Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar atas) berkata dia memutuskan untuk membolehkan laporan EIA dimuat turun kerana Putrajaya mahu mendapatkan sebanyak mungkin pandangan dan maklum balas awam.
Dalam kenyataan pada 22 Jan 2025, Nik Nazmi mengumumkan bahawa Jabatan Alam Sekitar memberi komitmen untuk menjadikan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling lebih mudah dicapai oleh orang awam, sambil memastikan pembangunan di Malaysia kekal mampan dari segi alam sekitar.
Ketika kenyataan itu dibuat, akses awam kepada laporan berkenaan adalah terhad dan hanya laporan bawah Jadual Kedua boleh dilihat, itu pun hanya semasa tempoh pameran awam. Untuk menangani perkara ini, Nik Nazmi berkata JAS menggariskan dua fasa penambahbaikan.
Bagi tempoh terdekat (mulai Februari 2025), ringkasan eksekutif laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling yang merangkumi Jadual Pertama dan Jadual Kedua akan disediakan kepada orang awam melalui laman web perpustakaan Enviro Digital@JAS. Mereka yang berhasrat untuk melihat laporan penuh boleh menghubungi pejabat JAS negeri yang berkaitan atau ibu pejabat JAS secara terus.
Bagi jangka masa panjang, dia berkata JAS akan meneroka sama ada laporan penuh boleh dimuat turun secara dalam talian, walaupun ini bergantung kepada pembiayaan, pindaan undang-undang terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling, dan infrastruktur teknikal yang dinaik taraf.
Nik Nazmi juga mengalu-alukan maklum balas awam mengenai laporan berkenaan semasa tempoh pameran awam, dan menyuarakan harapan agar akses yang lebih besar akan menghapuskan sebarang keraguan tentang integriti laporan yang diluluskan oleh JAS.
JAS mewajibkan pemaju projek bagi perkara yang disenaraikan di bawah Jadual Kedua Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Impak Alam Sekeliling) 2015 mempamerkan laporan EIA selama 30 hari.
Maklumat tak lengkap
Dalam sistem EIA Malaysia, “Jadual Kedua” merujuk kepada senarai projek yang dianggap mempunyai potensi impak alam sekitar yang besar, sekali gus memerlukan EIA Terperinci (DEIA), bukan sekadar EIA Awal.
Mengulas lanjut, Adam berkata: “Kami sedar sebahagian kecil EIA Jadual 2 tersedia secara dalam talian, tetapi ini tidak meliputi semua EIA Jadual 2 dan hakikat bahawa kami tidak boleh memuat turunnya menyukarkan analisis serta penyimpanan rekod, memandangkan EIA sering muncul dan hilang dari laman web JAS.”
Katanya, ketiadaan laporan yang boleh dimuat turun dan maklumat yang tidak lengkap menjejaskan penelitian awam serta analisis bebas terhadap projek sensitif alam sekitar.
Dalam kes terbaru, JAS mengeluarkan laporan EIA setebal 770 muka surat bagi cadangan kilang Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) meningkatkan pengeluaran di Gebeng, Kuantan.

Laporan itu dipamerkan kepada umum dari 10 April hingga 9 Mei bagi mendapatkan maklum balas awam terhadap projek tersebut sebelum keputusan dibuat sama ada mahu meluluskan rancangan peluasan Lynas.
Antara lain, laporan itu menyatakan akan berlaku peningkatan 16 peratus sisa radioaktif water leach purification (WLP) susulan peluasan pengeluaran kilang berkenaan.
Walaupun tempoh pameran awam kini tamat, jabatan itu masih menerima maklum balas terhadap projek berkenaan sehingga 24 Mei.
Namun, laporan itu kini tidak lagi boleh diakses secara umum, malah ia juga tidak mudah dimuat turun sepanjang tempoh pameran awam berlangsung.
Walaupun sebab sebenar perubahan dasar itu tidak jelas, Malaysiakini difahamkan bahawa permohonan bagi mendapatkan salinan penuh lembut sesuatu laporan EIA boleh dibuat melalui e-mel kepada Jabatan Alam Sekitar.
Semakan Malaysiakini mendapati laporan EIA tidak lagi boleh dimuat turun sejak beberapa bulan kebelakangan ini namun bila tepatnya perkara berkenaan bermula tidak dapat dipastikan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/04/573a986cbc936e18552254ddb9001f55.jpg)
