PAS sudah menerima penjelasan penjelasan dan permohonan maaf yang dibuat setiausaha majlis syura ulama parti itu, Nik Muhammad Zawawi Salleh, kata timbalan presidennya hari ini.
Menurut Tuan Ibrahim Tuan Man tindakan membuat penjelasan dan memohon maaf selepas melakukan kekhilafan adalah perbuatan yang terpuji, malah wajar dihayati.
Katanya orang ramai juga memahami bahawa kesilapan para sahabat Rasulullah SAW pada era sebelum Islam mereka sudah diampuni Allah, justeru masing-masing berjuang bersama nabi.
"Kepimpinan parti menerima penjelasan dan permohonan maaf daripada YB Nik Muhammad Zawawi atas kekhilafan yang berlaku ekoran ucapan beliau dalam ceramah di Kuala Terengganu," katanya dalam kenyataan petang ini.
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian turut memetik hadis Rasulullah yang bermaksud: “Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu.”
Dia juga memetik kaedah fikah yang menyatakan bahawa meninggalkan sesuatu khilaf adalah lebih baik berbanding sebaliknya.
"Maka, dengan penjelasan dan permohonan maaf tersebut, diharapkan perkara ini menjadi pengajaran serta panduan kepada masyarakat untuk mendalami ilmu pengetahuan, meneliti panduan para ulama terdahulu dalam memahami sesuatu peristiwa, serta membezakan antara kitab-kitab sirah, hadis dan athar (warisan) para sahabat," kata Tuan Ibrahim lagi.
Nik Zawawi berdepan kritikan dan tekanan daripada pelbagai pihak - termasuk dalam kalangan pemimpin PAS sendiri - selepas mengaitkan empat sahabat paling rapat Nabi Muhammad dengan perbualan jelik.
Katanya, Sayidina Abu Bakar as-Siddiq merupakan "bapa ceti" dan menekan orang miskin ketika dia belum memeluk Islam sehingga mampu menjadi kaya-raya.
Sayidina Umar al-Khattab pula didakwa boleh bertindak sewenang-wenangnya jika berminat ke atas mana-mana perempuan Makkah, termasuk dalam kalangan isteri orang.
Nik Zawawi - yang pernah mengetuai Dewan Ulama PAS Pusat sebelum ini - bagaimanapun sudah memohon maaf dan mengakui kurang cermat semasa mengucapkan dakwaan tersebut.
"Semoga kita terus memperkasakan pembinaan ummah dan mengukuhkan perjuangan dalam mendepani cabaran semasa.
"Semoga kita sentiasa berada dalam inayah Allah SWT," kata Tuan Ibrahim lagi.
