Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Amanah menyifatkan permohonan maaf oleh Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh, pada siang tadi sebagai tidak ikhlas dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.

Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, berkata keikhlasan permohonan maaf tersebut diragui kerana ia dibuat hanya selepas mendapat kritikan pelbagai pihak.

Sedangkan pada awalnya, kata Mahfuz, Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu tampil dalam klip video awal untuk menjustifikasikan kenyataan dibuatnya ketika berceramah dan menghina sahabat Nabi Muhammad SAW.

Bahkan, tambah Mahfuz, Nik Zawawi sempat memperkecilkan pihak yang memberi teguran kepadanya semalam.

"Seharusnya dia terus minta maaf, bukan selepas ditegur oleh banyak pihak.

"Sebab itu kalau kita lihat dalam video (penjelasan awal) itu dia tak minta maaf pun, tetapi dia mencerca dan memperkecilkan orang yang menegur dan dia memaafkan pihak lain.

"Hari ini memang dia memohon maaf, tapi dalam kenyataan sama dia sebut juga bahawa tidak ada riwayat berkait kisah sahabat nabi di zaman jahiliah dan kalau ada pun hanya bertaraf daif (lemah).

"Sebagai seorang berilmu memiliki PhD (doktor falsafah) dalam bidang agama, Nik Zawawi sepatutnya tidak menggunakan perkara-perkara daif untuk penghujahan bagi mengundang takbir (semasa ceramah)," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Nik Zawawi Salleh

Terdahulu Nik Zawawi mengundang kontroversi selepas ucapan ketika berceramah di Kuala Terengganu pada Ahad lalu tular di media sosial sekali gus dikritik pelbagai pihak kerana didakwa menghina empat orang sahabat paling dekat dengan nabi.

Dia kemudiannya tampil mempertahankan kenyataan berkenaan dan menjelaskan petikan Sayidina Abu Bakar as-Siddiq sebagai “bapa ceti” dan Umar al-Khattab berperangai ganas serta suka berzina dibuat dalam konteks menunjukkan realiti masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam.

Nik Zawawi yang pernah dilantik sebagai Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu menegaskan, kenyataan berkenaan dibuat sebagai perbandingan bagi membantu orang ramai memahami perbezaan antara zaman jahiliah dan era hidayah Islam.

Selepas menerima tekanan berterusan dia akhirnya tampil membuat permohonan maaf dan menarik balik perkataan 'bapa ceti' dan 'kaki zina' yang ditujukan terhadap khalifah ar-Rasyidin berkenaan.

“Merujuk kepada kontroversi berkaitan pengucapan saya baru-baru ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para tuan guru, asatizah, sahabat-sahabat serta seluruh masyarakat yang telah memberikan teguran, nasihat dan pandangan kepada saya.

“Saya mengakui bahawa saya kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan tersebut. Justeru itu, saya dengan rendah hati memohon maaf atas kekhilafan tersebut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Memalukan institusi dalam PAS

Dalam satu rakaman video berasingan, Nik Zawawi berkata, perkara yang berlaku pada zaman jahiliah yang diceritakan itu sememangnya tidak ada riwayat ataupun sekadar daripada riwayat yang daif.

"Kerana benda yang berlaku di zaman jahiliyah ini sememangnya tidak ada riwayat, dan kalau ada riwayat pun ia mesti daif, itu zaman jahiliyah, cuma tersilap apabila saya sandarkan kepada Sayidina Abu Bakar, Saidina Umar ," katanya dalam video dikongsikan di Facebook Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari.

Mahfuz yang juga bekas pemimpin kanan PAS berkata, parti itu juga perlu mengambil tindakan tegas terhadap Nik Zawawi kerana memalukan institusi ulama mereka.

"Bagi saya tak memadaikan Nik Zawawi mohon maaf saja, bahkan PAS perlu bertegas kerana tidak pernah ambil tindakan untuk merehatkan pemimpin.

“Apa yang berlaku itu memalukan institusi ulama PAS.

"Saya juga berharap pihak berkuasa memandang serius isu ini dan mengambil tindakan sewajarnya sebagai penganjaran," katanya yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena.

Sementara itu Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan parti itu sudah menerima penjelasan penjelasan dan permohonan maaf yang dibuat Nik Zawawi.

Menurutnya, tindakan membuat penjelasan dan memohon maaf selepas melakukan kekhilafan adalah perbuatan yang terpuji, malah wajar dihayati.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS