Pemuda Amanah menggerakkan laporan polis di seluruh negara berhubung kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa menghina sahabat Nabi Muhammad.
Pengarah Biro Syariah Pemuda Amanah Nasional, Hafiz Roslan, berkata tindakan itu diambil sebagai langkah tegas bagi memastikan perkara berkenaan disiasat, selain memberi pengajaran agar ia tidak berulang.
"Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia memberi kesan besar kepada sensitiviti umat Islam serta berpotensi mencetuskan kekeliruan dalam masyarakat.
"Justeru, tindakan pendakwaan syariah wajar dipertimbangkan sebagai pengajaran keras agar perkara seumpama ini tidak berulang," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Nik Zawawi mengundang kritikan selepas ucapannya ketika ceramah di Kuala Terengganu pada Ahad lalu tular di media sosial dan dikritik pelbagai pihak kerana didakwa menghina sahabat utama Nabi SAW.
Dia kemudian mempertahankan kenyataan tersebut dengan menjelaskan ungkapan yang merujuk kepada Sayidina Abu Bakar as-Siddiq sebagai “bapa ceti” dan Umar al-Khattab berperangai ganas serta suka berzina adalah dalam konteks menggambarkan realiti masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam.
Nik Zawawi yang pernah mengetuai Dewan Ulama PAS Pusat menegaskan, kenyataan itu bertujuan sebagai perbandingan bagi membantu pemahaman perbezaan antara zaman jahiliah dan era hidayah Islam.

Bagaimanapun, selepas menerima tekanan pelbagai pihak, dia akhirnya membuat permohonan maaf serta menarik balik penggunaan istilah “bapa ceti” dan “kaki zina” yang dikaitkan dengan Khalifah ar-Rasyidin tersebut.
Mengulas lanjut, Hafiz berkata setiap perbincangan berkaitan tokoh Islam khususnya para sahabat perlu dilakukan dengan penuh adab, berhati-hati serta berpandukan sumber yang sahih bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

"Setiap kenyataan berkaitan agama dan tokoh Islam perlu disampaikan dengan penuh tanggungjawab kerana ia memberi kesan langsung kepada keharmonian serta sensitiviti umat Islam," katanya.
Dia turut menegaskan sebarang keterlanjuran perlu diperbetulkan segera melalui tindakan bertanggungjawab termasuk bertaubat kepada Allah, membuat pembetulan secara terbuka serta memohon maaf kepada masyarakat bagi mengelakkan kekeliruan berpanjangan.
"PAS dan Nik Muhd Zawawi perlu ambil tanggungjawab. Nik Zawawi diminta segera bertaubat.
"Semua pihak diseru agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan agama, khususnya yang melibatkan tokoh-tokoh utama dalam Islam, demi menjaga perpaduan serta sensitiviti umat Islam,” katanya.
