Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pemuda PKR gesa siasat dakwaan Mandiri terima dana asing
Diterbitkan:  May 17, 2026 2:21 PM
Dikemaskini: 6:50 AM

Pemuda PKR (AMK) menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) Mandiri menerima dana asing yang bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan dan menggugat kestabilan politik negara.

Bagaimanapun, kumpulan itu menafikan terlibat dalam sebarang salah laku.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua AMK, Kamil Abdul Munim berkata terdapat laporan bahawa antara November 2024 hingga Jun 2025, Mandiri menerima dana berjumlah RM1.5 juta daripada pertubuhan berhaluan kiri di Amerika Syarikat, iaitu The Tides Foundation.

Menurutnya terdapat tujuh transaksi berjumlah RM686,729 dibuat kepada pengarah eksekutif Mandiri, Amir Hariri Abd Hadi, dan beberapa individu lain yang dikaitkan dengan kumpulan itu antara 2024 hingga 2025.

Kamil - yang juga setiausaha politik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kementerian Kewangan - mendakwa dana tersebut mempunyai kaitan dengan gerakan politik tertentu termasuk pembiayaan operasi media sosial serta menggerakkan protes jalanan bagi mewujudkan persepsi serta naratif kebencian terhadap kerajaan, sekali gus menggugat kestabilan politik negara.

"Sekiranya dakwaan ini benar, maka perkara ini adalah sesuatu yang amat berbahaya. Malaysia tidak boleh sesekali menjadi medan eksperimen geopolitik kuasa asing yang mahu mencatur landskap politik negara melalui proksi tempatan.

"Campur tangan sebegini bukan sahaja menghakis kedaulatan negara, malah berpotensi mencetuskan ketidaktentuan politik yang akhirnya memberi kesan langsung kepada ekonomi rakyat, keyakinan pelabur dan kestabilan sosial negara.

"AMK menegaskan bahawa alasan kebebasan dan demokrasi tidak boleh dijadikan perisai untuk menghalalkan sebarang aktiviti yang melibatkan penggunaan serta penyelewangan dana asing bagi kegiatan politik yang mengancam keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.

Kamil turut menggesa pihak polis, SPRM, Bank Negara dan agensi keselamatan lain menyiasat semua pihak terlibat tanpa mengira kecenderungan politik.

Mandiri, dalam kenyataan berasingan, menafikan menerima dana bagi tujuan politik, menggerakkan operasi tentera siber, mencetuskan provokasi di jalanan dan pembinaan naratif kebencian kepada kerajaan.

"Ini merupakan tindakan terdesak bagi mengalih isu-isu yang sedang melanda politik negara,” kata Amir Hariri.

Amir Hariri bagaimanapun tidak mengulas dakwaan bahawa organisasinya menerima dana daripada The Tides Foundation.

Namun, dia menegaskan bahawa adalah perkara biasa bagi organisasi masyarakat sivil memohon geran, dan fokus organisasi itu adalah kepada program pemerkasaan anak muda.

"Mandiri bukan sebuah parti politik dan tidak terlibat dalam perebutan kuasa, serta usaha mengangkat atau menjatuhkan kerajaan," tegasnya.

Semalam, Mandiri mengeluarkan kenyataan menafikan video TikTok yang didakwa dijana AI, yang mendakwa organisasi itu menerima dana asing, menjadi proksi kepada Rafizi Ramli, dan bertujuan menjatuhkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Amir berkata hari ini dia yakin pejabat Mandiri akan diserbu dalam masa terdekat dan kemungkinan akan berlaku tangkapan.

Katanya, kumpulan itu tiada apa-apa untuk disembunyikan dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa. Selepas keadaan reda, mereka akan mempertimbangkan tindakan undang-undang.

Ini bukan kali pertama Mandiri dituduh terlibat dalam konspirasi.

Pada Sept tahun lalu, organisasi itu didakwa mengatur demontrasi besar-besaran di Jakarta, Indonesia.

Protes tersebut tercetus susulan tindakan kerajaan untuk menaikkan elaun perumahan ahli parlimen sehingga 10 kali ganda daripada kadar gaji minimum.

Amir Hadi berkata kumpulan itu memang mengunjungi Indonesia pada April tahun itu bagi mengukuhkan hubungan serantau dan mengkaji isu tempatan, namun menafikan ada perbincangan untuk mengadakan protes.

Dia juga mendakwa ketika itu Mandiri dituduh menerima dana daripada “Godfather Petrol” Indonesia, Riza Chalid — yang kini menjadi buruan pihak berkuasa.

Riza dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Anwar, walaupun perdana menteri berkata usahawan tersebut hanya kenalan biasa.

Malaysiakini turut menghubungi The Tides Foundation untuk mendapatkan komen.

Pada 2024, Politico melaporkan bahawa salah satu penyumbang kepada Tides Foundation ialah Open Society Foundation (OSF), yang diasaskan oleh bilionair George Soros — tokoh yang sering dijadikan sasaran kritikan golongan konservatif.

Ketika itu, Tides Foundation dilaporkan membiayai beberapa kumpulan pro-Palestin, termasuk yang terlibat dalam protes kampus di Amerika Syarikat terhadap perang Israel di Gaza.

Politico melaporkan bahawa Tides Foundation mengeluarkan kenyataan berhubung protes tersebut dengan menyatakan ia “komited untuk memajukan keadilan sosial”, dan bahawa “komuniti projek tajaan fiskal, penderma dan penerima gerannya mewakili pelbagai perspektif tentang bagaimana keadilan sosial ditafsirkan.”


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS