Tiga mantan aktivis Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 bersama seorang bekas ahli parlimen tampil menyelar Ketua Pemuda PKR (AMK) Kamil Munim yang menggesa pihak berkuasa menyiasat pertubuhan masyarakat sivil (CSO) atas dakwaan menerima dana asing untuk menjatuhkan kerajaan.
Menurut mereka, tindakan mendesak siasatan tersebut secara jelas melanggar prinsip dan asas penubuhan PKR sebagai sebuah wadah politik yang ingin menegakkan keadilan, bertekad melawan penindasan, dan berhasrat membawa reformasi di dalam negara.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh mantan pengerusi bersama Bersih 2.0 Ambiga Sreenevasan, mantan pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah, mantan pengurus sekretariat Bersih 2.0 Mandeep Singh, dan mantan jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 Jay Jay Denis.
"Desakan Ketua AMK bahawa agensi penguatkuasa harus menggeledah NGO yang menerima geran dari luar negara adalah 'playbook' sama yang digunakan oleh Umno terhadap Bersih suatu ketika dulu.
"Malah, Umno sampai ke tahap menggunakan Akta Sosma atas nama melindungi keselamatan negara kerana Umno takut terhadap NGO," kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Kumpulan itu turut mengingatkan bahawa sebahagian besar pimpinan PKR yang kini bergelar menteri, timbalan menteri, malah mantan ketua AMK juga pernah memimpin serta menjalankan tugas dalam pelbagai NGO.
Jelas mereka, sebahagian besar NGO tidak menerima dana daripada kerajaan dan terpaksa bergantung kepada geran dari dalam dan luar negara untuk tujuan penyelidikan serta program.

Mereka menegaskan bahawa detik-detik getir yang menggerakkan Reformasi pada zaman 1997 dan 1998 sebelum lahirnya PKR bermula dengan penubuhan Adil, iaitu sebuah NGO.
“Alasan bahawa saat ini adalah tempoh krisis dan tidak boleh ada sebarang persoalan terhadap perkembangan negara adalah alasan tidak munasabah kerana pada zaman 1998, Malaysia sedang berhadapan dengan krisis seumpama besar iaitu sebahagian Krisis Kewangan Asia.
"Sebaliknya, AMK harus mencontohi Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menggunakan hujah dalam menjelaskan isu negara dan bukannya menyalahgunakan kuasa seperti yang pernah dibuat oleh Umno," tambah kenyataan itu lagi.
Menurut mereka, situasi ini sepatutnya menjadi peluang kepada pemimpin berpengalaman dalam PKR untuk mencerahkan minda generasi muda AMK yang dilihat masih belum menguasai sejarah perjuangan parti itu sendiri.
Sementara itu, Bersih dalam kenyataan berasingan juga menyelar Kamil.
Mereka menyifatkan tindakan Kamil yang juga setiausaha politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Kementerian Kewangan itu sebagai cubaan mengalih isu dengan tuduhan tidak berasas.

"Naratif-naratif yang dibawa oleh saudara Kamil dan juak-juaknya adalah seperti radio buruk yang memainkan lagu lama yang sama seperti kerajaan terdahulu yang menuduh Bersih dan masyarakat sivil yang lain mendapat dana asing untuk mengancam dan menggugat keselamatan negara.
"Berbanding segera mereformasikan institusi melawan rasuah dan salah guna kuasa seperti SPRM, kerajaan Madani lebih gemar melemparkan tuduhan yang sepele tanpa ada asas yang kuat," kata Jawatankuasa Pemandu Bersih.
Semalam, Kamil menggesa pihak polis dan SPRM menyiasat dakwaan pertubuhan masyarakat sivil Mandiri menerima dana RM1.5 juta daripada pertubuhan berhaluan kiri di Amerika Syarikat, The Tides Foundation, bagi tujuan menggerakkan protes jalanan dan membina naratif kebencian terhadap kerajaan.
Pengarah Eksekutif Mandiri Amir Hariri Abd Hadi bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai tindakan terdesak untuk mengalih isu.

Menurut Bersih, pihak kerajaan sepatutnya fokus melaksanakan Akta Pendanaan Politik untuk menyelia sumber dana parti serta ahli politik, dan bukannya bertindak membungkam pertubuhan bukan kerajaan yang lantang dan kritikal terhadap mereka.
Bersih turut membangkitkan beberapa isu integriti yang masih belum diselesaikan oleh kerajaan, termasuk laporan siasatan berhubung kes saham bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Azam Baki serta tuntutan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu mafia korporat.
"Masa semakin suntuk untuk Kerajaan Madani. Kami menasihatkan agar saudara Kamil Munim selaku Setiausaha Politik PMX dan Ketua AMK menghabiskan sisa masa beliau untuk membawa kerajaan melakukan reformasi bermakna seperti yang dijanjikan dalam manifesto mereka," menurut kenyataan itu lagi.
