mk-logo
Berita
Fadhli sergah Bersatu: Siapa pekak?
Diterbitkan:  May 31, 2026 11:50 AM
Dikemaskini: 3:56 AM

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari hari ini mengucapkan “selamat maju jaya” kepada Bersatu ekoran tularnya satu klip rakaman pendek menunjukkan salah seorang pemimpin parti itu mengecam pemimpin PAS sebagai “pekak”.

Menurut Ahmad Fadhli kenyataan tersebut menunjukkan tiada lagi harapan untuk PAS dan Besatu bekerjasama dengan baik dan harmoni lagi.

Kata Ahmad Fadhli, selain itu pelbagai tindakan diambil Bersatu “kebelakangan ini” menimbulkan kebimbangan kepada PAS termasuk kemungkinan parti itu mengambil keputusan sepihak selepas PRU akan datang.

“Justeru, secara peribadi saya cadangkan jalan yang terbaik ialah bergerak secara berasingan. Kita kekal berkawan, cuma bukan di pentas pilihanraya.

“Anda boleh mencari kawan politik yang lebih jelas pendengaran, lebih terang penglihatan dan lebih kuat deria bau. Selamat Maju Jaya,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Hubungan PAS dan Bersatu dilatari ketegangan dengan pelbagai isyarat dihantar kedua-dua pihak melalui kenyataan sama ada secara berkias atau langsung. Antara lain ia disumbang oleh kejatuhan salah seorang pemimpin PAS dari jawatan Menteri Besar Perlis.

Pada 22 Mei lalu pertembungan tajam terbuka didedahkan kepada umum apabila Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyerang Bersatu dengan pelbagai dakwaan, termasuk melibatkan aspek pilihan raya.

Menurut Abdul Hadi, apabila tiba waktu pilihan raya, Bersatu menampilkan lebih ramai calon berbanding petugas dan ia tidak boleh lagi diulang pada masa depan.

PAS tidak akan tunduk dengan kemahuan Bersatu kali ini,” katanya.


Baca Ahli politik bukan ayam, kata bekas pegawai kanan Muhyiddin

Abdul Hadi juga memberitahu PAS akan mengajar Bersatu “satu per satu” mengenai apakah langkah selanjutnya untuk mereka.

Turut disentuh Ahli Parlimen Marang itu ialah isu Menteri Besar Perlis, kegagalan menjatuhkan Menteri Besar Negeri Sembilan serta pendirian Bersatu membantah kemasukan parti lain menjadi komponen PN.

Malam tadi tular pula klip rakaman program politik – didakwa berlangsung di Melaka – melibatkan seorang pemimpin kanan Bersatu yang marah apabila partinya dianggap tidak mempunyai jentera.

Tokoh Bersatu itu meminta pihak yang membuat tuduhan berkenaan supaya “jangan pekak”.

Menurut Ahmad Fadhli tidak menjadi kesalahan jika sesebuah parti tiada jentera tambahan, apatah lagi jika ia masih baru dan “kerdil”. Namun isu tersebut menjadi masalah apabila kelemahan berkenaan tidak diakui.

Masalah juga tidak timbul, kata Ketua Penerangan PAS Pusat itu, jika parti terbabit berusaha memantapkan organisasi.

“Tetapi jika dalam tempoh bertahun-tahun selepas pilihan raya asyik berantakan, ia bukan memantapkan parti. Ia hanya proses mempersiapkan penyokong peribadi untuk menjadi calon dan kemudiannya menunggang kekuatan parti kawan.

“Kerana itu, pihak tersebut apabila bertanding lebih banyak kerusi daripada kawan-kawan dalam gabungan, tetapi seringkali gagal menang lebih banyak. Ia terhasil dari kajian serta bacaan yang tidak tepat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS