Naib Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu menyatakan rasa kurang senang di sebalik bibit-bibit perpecahan antara partinya dan PAS.
Mengulas kenyataan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari, bekas Menteri Besar Perak itu bagaimanapun menegaskan partinya tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya PAS berhasrat bergerak secara solo.
“Jika itu kehendak PAS (bergerak solo), kami tak boleh nak buat apa. Saya nasihatkan, buatlah jika itu pada pandangan PAS boleh memperkukuhkan perpaduan Melayu.
“Pandangan saya, PN telah diterima ramai. Malang sekali kalau (PN) berpecah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Terdahulu, hubungan PAS dan Bersatu dilatari ketegangan dengan pelbagai isyarat dihantar kedua-dua pihak melalui kenyataan sama ada secara berkias atau langsung.
Antara lain ia dikaitkan dengan kejatuhan salah seorang pemimpin PAS dari jawatan Menteri Besar Perlis.
Pada 22 Mei lalu pertembungan terbuka kedua-dua pihak didedahkan kepada umum apabila Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyerang Bersatu dengan pelbagai dakwaan, termasuk melibatkan aspek pilihan raya.
Menurut Abdul Hadi, apabila tiba waktu pilihan raya, Bersatu menampilkan lebih ramai calon berbanding petugas dan ia tidak boleh lagi diulang pada masa depan.
Kelmarin, Ahmad Fadhli Shaari mengucapkan “selamat maju jaya” kepada Bersatu ekoran tularnya satu klip rakaman pendek menunjukkan salah seorang pemimpin parti itu mengecam pemimpin PAS sebagai “pekak”.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, kenyataan tersebut menunjukkan tiada lagi harapan untuk PAS dan Bersatu bekerjasama dengan baik dan harmoni lagi.
Selain itu tambahnya pelbagai tindakan diambil Bersatu kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan kepada PAS termasuk kemungkinan parti itu mengambil keputusan sepihak selepas PRU akan datang.
Terdahulu Abdul Hadi turut memaklumkan hubungan antara partinya dan Bersatu akan dikaji semula dan perkara itu akan diteliti oleh Majlis Syura Ulama PAS.
Sementara itu Malaysiakini difahamkan, mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS dijadualkan berlangsung hari ini yang dijangka membuat ketetapan baru menentukan hala tuju parti itu menjelang PRU ke-16.
