PAS Perlis bertegas tidak akan menjalinkan sebarang bentuk kerjasama politik dengan pihak yang terlibat dengan “pengkhianatan” terhadap mereka.
“Kita tidak akan menjalankan kerjasama dengan individu yang berasal daripada Bersatu kemudian keluar daripada Bersatu dan kini menyertai Wawasan, selagi isu berkenaan belum diselesaikan oleh pihak Bersatu,” kata Pesuruhjaya PAS Perlis Ahmad Ali.
Harakahdaily melaporkan pendirian itu diambil berasaskan prinsip perjuangan Islam yang menekankan amanah, kejujuran dan kesetiaan dalam setiap bentuk kerjasama politik.
Laporan itu tidak menyebut mana-mana pihak secara khusus.
Bagaimanapun, terdahulu menteri besar parti itu Mohd Shukri Ramli digulingkan oleh pemimpin Bersatu, antaranya Abu Bakar Hamzah yang mengambil alih jawatan itu.

Beberapa pemimpin kanan Bersatu, termasuk Abu Bakar, melepaskan jawatan dalam parti.
Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan mereka menyertai Parti Wawasan Negara pimpinan bekas Hamzah Zainudin.
Sementara itu, Ahmad berkata setiap isu yang melibatkan pengkhianatan terhadap perjuangan perlu ditangani secara bertanggungjawab dan tidak boleh dipandang ringan.
“Pendirian tidak menjalinkan kerjasama dengan kumpulan berkenaan diambil sebagai tanda menghormati prinsip amanah serta bagi memelihara keyakinan rakyat terhadap integriti perjuangan politik.
“Dalam masa sama, PAS Perlis berpandangan Bersatu perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana individu yang dikenal pasti sebagai dalang kepada pengkhianatan tersebut, sekiranya terdapat asas serta melalui proses sewajarnya,” tambahnya.
Ahmad berkata, selagi tiada penyelesaian atau tindakan yang jelas, kerjasama politik dengan kumpulan berkenaan tidak wajar dipertimbangkan.
Minggu lepas Shukri juga memuat naik kenyataan berbunyi "pengkhianat tetap pengkhianat" di media sosial, yang mencetuskan tanda-tanya.
Hantaran itu dibuat sehari selepas Abu Bakar mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Shukri yang juga bekas pesuruhjaya PAS Perlis enggan menjelaskan individu yang dimaksudkan dalam kenyataannya.
