PAS menzahirkan rasa dukacita terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan permohonan kerajaan negeri bagi mendapatkan kebenaran merayu berhubung pengeluaran lesen perjudian di Kedah yang sekali gus menyaksikan dasar sifar judi yang diperkenalkan sebelum ini terbatal.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahaya berkata, meskipun pihaknya akur dengan ketetapan undang-undang itu namun menyifatkan keputusan berkenaan turut mendukacitakan seluruh rakyat Negeri Kedah yang menyokong usaha membanteras kegiatan berkenaan.

“Sangat ironi apabila langkah kerajaan negeri mengamalkan prinsip mencegah kerosakan dalam masyarakat dibantah oleh pihak tertentu sehingga mereka sanggup membawa kes ini ke mahkamah sejak awal.
“Inilah yang amat dikesali. Bagaimana ada pihak yang masih tegar mempertahankan jenayah perjudian dalam negeri meskipun usaha kerajaan menutup keseluruhan premis telah dilaksanakan mengikut garis perundangan yang ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Keputusan penolakan rayuan itu bermakna keputusan Mahkamah Tinggi pada Jun 2024 yang membatalkan dasar sifar judi kerajaan negeri Kedah kini terpakai, selepas tindakan menghentikan pembaharuan lesen premis perjudian dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2023 hasil keputusan anggota Majlis Mesyuarat Negeri pada 8 Disember 2021.
Ahmad turut mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang masih tegar mempertahankan jenayah perjudian dalam negeri, sedangkan usaha kerajaan Negeri untuk menutup keseluruhan premis terbabit dilaksanakan mengikut garis perundangan sedia ada.
Tegas Ahli Parlimen Pokok Sena itu, PAS akan terus mempertahankan prinsip amar makruf nahi munkar dalam pentadbiran berkerajaan serta memberi sokongan penuh kepada mana-mana tindakan susulan yang wajar diambil.

Katanya, usaha membanteras kegiatan perjudian di Kedah tidak akan berhenti setakat ini dan perjuangan menghapuskan lesen premis perjudian akan terus dipertahankan pada masa hadapan.
“Insya-Allah, perjuangan ini tidak akan bertemu titik noktah di sini,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan negeri Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang membatalkan tindakannya menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan di negeri berkenaan.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Rhodzariah Bujang bersama-sama Collin Lawrence Sequerah dan Azmi Ariffin, memerintahkan kerajaan negeri membayar kos sebanyak RM50,000.
Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, Hakim Rhodzariah memutuskan bahawa kerajaan negeri gagal memenuhi syarat ambang di bawah Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi membolehkan kebenaran merayu diberikan.
Kerajaan Negeri Kedah memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi memihak kepada ejen pertaruhan nombor ramalan, syarikat serta pegawai utama mereka dalam mencabar arahan kerajaan negeri berkenaan.
