Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kedah tumpas di Mahkamah Persekutuan, kes larangan lesen judi tamat
Diterbitkan:  Aug 12, 2026 1:10 PM
Dikemaskini: 9:17 AM
1

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Kerajaan Negeri Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang membatalkan tindakannya menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan di negeri berkenaan.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang bersama-sama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin, memerintahkan kerajaan negeri membayar kos sebanyak RM50,000.

Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, Hakim Rhodzariah memutuskan bahawa kerajaan negeri gagal memenuhi syarat ambang diperlukan di bawah Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi membolehkan kebenaran merayu diberikan.

 Kerajaan Negeri Kedah memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada ejen pertaruhan nombor ramalan, syarikat serta pegawai kanan mereka dalam mencabar arahan kerajaan negeri berkenaan.

Mahkamah Rayuan, menerusi keputusan majoriti pada 12 Dis 2025, memutuskan bahawa tindakan Kerajaan Negeri Kedah menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan adalah tidak rasional dan tidak berperlembagaan.

Dalam keputusan majoriti itu, Hakim Mahkamah Rayuan Faizah Jamaluddin berkata keputusan kerajaan negeri untuk menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan pertaruhan nombor ramalan melangkaui batas kuasa negeri yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Beliau berkata keputusan itu adalah suatu larangan di seluruh negeri yang tidak dibenarkan terhadap perkara yang terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan.

Bagaimanapun, dalam penghakiman berbeza pendapat, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Azizah Nawawi memutuskan bahawa keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah untuk tidak memperbaharui lesen premis pertaruhan nombor ramalan merupakan perkara dasar yang tidak seharusnya dicampuri oleh mahkamah.

Beliau berkata keputusan itu melibatkan budi bicara kerajaan negeri serta pertimbangan terhadap kebajikan rakyat Kedah yang mengatasi kepentingan peribadi pengendali berkenaan.

Enam permohonan semakan kehakiman difailkan oleh ejen pertaruhan nombor ramalan, syarikat pertaruhan nombor ramalan atau pegawai kanan syarikat berkenaan bagi mencabar keputusan kerajaan negeri itu.

Pada 20 Jun 2024, Mahkamah Tinggi memberikan deklarasi bahawa keputusan Kerajaan Negeri Kedah itu adalah ultra vires (di luar kuasa) Perlembagaan Persekutuan, selain mengeluarkan perintah certiorari untuk membatalkan keputusan tersebut serta memerintahkan supaya jumlah ganti rugi ditaksir di hadapan Timbalan Pendaftar.

Semasa prosiding di Mahkamah Persekutuan, peguam mewakili kerajaan negeri, Azhar Azizan Harun, memohon supaya kebenaran merayu diberikan dan mengemukakan enam persoalan undang-undang.

Beliau berkata persoalan berkenaan belum pernah diputuskan oleh mahkamah tertinggi itu dan wajar ditentukan demi kepentingan awam.

Bagaimanapun, peguam Brian Foong Mun Loong yang mewakili pengendali pertaruhan nombor ramalan itu berhujah bahawa kerajaan negeri gagal memenuhi syarat ambang diperlukan bagi membolehkan kebenaran merayu diberikan.

Pada November 2021, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata bahawa kerajaan negeri akan menghentikan pembaharuan lesen pihak berkuasa tempatan bagi premis loteri mulai 1 Jan 2023 sebagai sebahagian usaha membendung gejala sosial.

Bercakap kepada pemberita selepas prosiding, Foong berkata keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan tindakan kerajaan negeri itu membolehkan anak guamnya kini memohon lesen premis perniagaan.

“Susulan dasar itu telah dibatalkan, secara teknikalnya tiada sebab untuk pihak berkuasa tempatan menolak permohonan tersebut,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS