Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
ULASAN l Kelesuan politik bakal lahirkan kerajaan paling tidak layak

ULASAN l Dalam pembacaan saya berikutan keputusan Persidangan Perwakilan DAP 16 Ogos, harapan Kerajaan Perpaduan Madani kekal ke penghujung penggal adalah terjamin.

Perwakilan parti tunjang Kerajaan Madani itu mengundi 1,857 menyokong kekal dalam kerajaan sampai akhir penggal dengan hanya 242 menentang.

Saya rasa, Barisan Nasional (BN) juga akan kekal bersama Kerajaan Madani walaupun akan mementaskan wayang ketoprak anti-DAP dan mengukuhkan pelukan dengan Perikatan Nasional (PN). BN telah menjadikan ciri kayu tiga permainan politik demi kelangsungan (survival).

Kita kena ingat keakraban luar biasa di antara Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dengan timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi. Mereka ibarat aur dan tebing di sungai yang mengalir laju. Silap langkah boleh tumbang dan hanyut ke laut.

Menderita kelesuan politik

Tetapi yang lebih penting daripada semua faktor itu adalah perasaan rakyat jelata. Mereka sudah letih dengan permainan politik. Mereka mula menderita kelesuan politik (political fatigue).

Hal ini boleh dilihat dalam siri pilihan rasa sejak Pilihan Raya Umum (PRU). Dalam PRU 2013, seramai 84 peratus keluar mengundi. PRU 2018 jatuh kepada 82.32 peratus dan PRU 2022 hanya 74.50 peratus.

Demikian juga sambutan kepada kegiatan parti-parti politik. Misalnya, dalam Persidangan Kebangsaan DAP 16 Ogos, dilaporkan hanya 52.1 peratus perwakilan hadir. Daripada 4,264 perwakilan berdaftar, hanya 2,223 orang hadir.

Tanda-tanda lain adalah sokongan yang semakin menurun terhadap parti-parti serpihan. Bukan sekadar rakyat biasa, ahli politik pun semakin ramai menderita sindrom kelesuan ini.

Dalam PRU ke-15 pada tahun 2022, kita lihat penolakan total terhadap Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). Pejuang ini boleh disifatkan sebagai serpihan Umno melalui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Dalam PRU itu, yang betul-betul menampakkan kekuatan adalah PAS dan DAP.

Dalam Pilihan Raya Negeri di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan, kita saksikan penolakan terhadap PKR, Amanah, Bersatu dan Bersama. Hatta DAP mula merasa tempiasnya.

Macam mana tak letih

Macam mana tak letih? Tengok saja bagaimana pemimpin-pemimpin parti bermain dengan emosi ahli dan penyokong.

Perhatikan macam mana PKR berpecah-belah kerana semata-mata hendak meneruskan nepotisme dan kronisme. Anwar, yang cuba menggunakan tuduhan itu terhadap Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1998, melalui Ahmad Zahid, kini menjuarai hal yang sama.

Orang ramai nampak bagaimana dalam sekelip mata, Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli, dijatuhkan demi menaikkan Nurul Izzah Anwar. Kesudahannya PKR pecah.

Baru-baru ini, sekonyong-konyong diumumkan yang Nurul Izzah mahu letak jawatan kononnya hendak sambung pelajaran, tapi parti tidak mahu terima. Sebaliknya presidium memberi cuti tanpa had kepada beliau.

Keadaan PKR mungkin cukup tenat sehingga memaksa Anwar meminta maaf dan merayu otai-otai reformasi agar kembali ke landasan perjuangan, ketika menyampaikan ucapan dasar di Kongres Tahunan PKR, di Melaka, pada 15 Ogos.

Bau-bau bacang

Asal usul PKR adalah pemecatan Anwar daripada Umno pada tahun 1998. Jadi, sedikit sebanyak ada lah bau-bau bacang dengan Umno.

Bersatu sah serpihan Umno. Ia diasaskan oleh Dr Mahathir, yang keluar Umno dan Muhyiddin Yassin yang dipecat daripada Umno oleh Najib Razak. Hamzah Zainudin membawa sekumpulan enam orang Ahli Parlimen Umno masuk Bersatu pada tahun 2019.

Sekarang Bersatu telah berpecah dua. Muhyiddin kekal memimpin Bersatu asal yang semakin menguncup manakala Hamzah menubuhkan Parti Wawasan Negara dan menjadi "king maker" PN. Ikut cerita beliau akrab dengan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, dan kembali bertepuk bahu dengan Ahmad Zahid.

Parti Amanah Negara (Amanah) hilang sinar berikutan kematian timbalan presidennya, Salahuddin Ayub pada tahun 2023, dan kekalahan Mujahid Yusof Rawa dalam PRU 2022, walaupun beliau kini Senator. Dengan PAS semakin dominan, prospek Amanah tidak memberangsangkan.

Bersama dan Muda pula perlu segera memperkukuhkan kepemimpinan dan memperjelaskan ideologi. Dua parti ini, sama ada bersendirian atau melalui gabungan, berpotensi menjadi alternatif kepada generasi muda.

Malapetaka kepada negara

Kesimpulannya, kelesuan politik ini, kalau dibiarkan berlarutan akan membawa malapetaka kepada negara. Tidak mustahil kita akan diperintah oleh kerajaan kleptokrasi dan kakistokrasi.

Kleptokrasi adalah sistem kerajaan di mana pemimpin politik atau pegawai tinggi kerajaan menggunakan kedudukan untuk menyalahgunakan kuasa bagi menggelapkan dana negara demi memperkayakan diri sendiri. Manakala kakistokrasi pula merujuk kepada sistem pemerintahan yang diterajui oleh golongan yang paling tidak layak, tidak cekap atau korup.


A KADIR JASIN ialah bekas ketua pengarang kumpulan NSTP (M) Bhd dan pernah menjadi penasihat media kepada perdana menteri.

Tulisan ini asalnya disiarkan di media sosial dengan tajuk ‘Bahaya kelesuan politik ’. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS