PAS, yang berdepan percanggahan antara idealisme teokrasinya dengan hasrat memenangi hati pengundi bukan Melayu, kini membangkitkan kesusahan seorang wanita yang suaminya ketagihan judi bagi menjustifikasikan desakan parti itu untuk mengharamkan premis perjudian.
Menurut Harakah, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, ketika bercakap dalam podcast berbahasa Cina, mengimbau tindakan bekas Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang mengambil langkah menutup premis perjudian semasa memimpin negeri itu.
Dia mendakwa beberapa anggota masyarakat Cina menemui Nik Aziz untuk menyampaikan penghargaan mereka kerana suami mereka tidak lagi menghabiskan wang dan masa di premis perjudian.
“Mereka mengatakan, terima kasih Tok Guru sebab suami sekarang dah ada duit, dah tak habis lagi kedai judi, dah tak habis masa di kedai judi, bersama keluarga,” katanya.
“Masyarakat Cina kata, ‘Terima kasih, Tok Guru, sebab sekarang bila suami kami ada duit, mereka tak lagi habiskan di kedai judi, mereka tak lagi buang masa di kedai judi, dan mereka luangkan masa bersama keluarga’,” katanya ketika ditemu bual dalam Podcast Feng Ren Guan.
Walaupun mengakui hak orang bukan Islam untuk terlibat dalam aktiviti yang dibenarkan oleh agama mereka mesti dihormati, Tuan Ibrahim menegaskan bahawa semua agama melarang kemungkaran dan menekankan nilai positif.
“PAS melarang orang Islam jangan terlibat, tapi PAS tidak pernah melarang orang bukan-Islam untuk mengamalkan sekiranya agama dibenarkan, budaya dibenarkan.
“Tapi kalau agama dia pun tidak benar, kita kata kami hanya laksana agama kamu. Agama kamu tak benar, macam mana kamu nak buat,” katanya.
Tuan Ibrahim berhujah bahawa walaupun sesetengah orang mungkin berjudi sekadar untuk hiburan sambil meluangkan masa bersama keluarga, amalan itu tidak sepatutnya dibiarkan sehingga menjadi ketagihan.
“Judi ini hanya untung tauke-tauke judi. Yang jadi mangsa orang miskin. Orang miskin ini diangan-angan dia ambil judi, tapi dia akan ketagih. Bila ketagih, duit dia akan habis pada perjudian, rumah tangga dia terbiar, anak-anak dia terbiar.
“Yang untung tauke judi, dia untunglah. Tapi rakyat kita yang miskin, yang susah ini, dia dapat gaji, sebahagian itu kadang-kadang separuh gaji dia habis perjudian. Dah jadi budaya, dah jadi trend.
“Ini bukan saja orang bukan Islam, orang Islam pun ada yang terlibat demikian,” katanya yang juga adalah juga Ahli Parlimen Kubang Kerian dan Adun Cheka.
Tuan Ibrahim berkata perkara sama perlu diberikan perhatian dalam isu pengambilan arak apabila ia berkembang daripada amalan biasa kepada ketagihan yang boleh menjejaskan kehidupan seseorang.
Timbalan Presiden PAS itu menekankan bahawa parti tidak mahu nilai negatif itu berkembang menjadi norma sosial yang boleh merosakkan institusi keluarga dan menjejaskan masa depan generasi muda.
“Sebagai pemimpin kita fikir apa budaya yang kita hendak rakyat kita hidup, apa matlamat yang kita nak bina bagi rakyat kita. Jadi kita kena jelas dulu polisi, daripada polisi itu nanti kita akan bina program.
“Dalam perjuangan PAS, kita hendak negara kita maju, makmur, adil, tidak ada pertelingkahan kaum dan ekonomi yang baik, termasuk soal pendidikan,” katanya
Tuan Ibrahim berkata PAS mahu membina nilai positif bersama-sama orang bukan Islam, termasuk prinsip kepimpinan yang adil, bebas daripada rasuah dan tidak menyalahgunakan kuasa.
“Kita nak pemimpin yang adil, yang tak rasuah, yang tak menyeleweng, yang tak suka guna kuasa, yang bertimbang rasa pada rakyat walaupun dia bukan Islam,” katanya.
Pada 12 Ogos, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan Kedah pimpinan Pas untuk membatalkan keputusan yang menghalangnya daripada menolak pembaruan lesen bagi pengusaha pertaruhan nombor ekor dan loteri.
Larangan judi juga menjadi fokus utama dalam persaingan politik bagi merebut undi bukan Islam yang turut melibatkan DAP, MCA dan MIC selepas Umno, yang bersetuju mengadakan pakatan pilihan raya dengan PAS, menyokong larangan tersebut.
Semalam, anggota Parlimen DAP, Chong Zhemin menuntut MCA dan MIC menyatakan pendirian mereka berhubung isu tersebut.
