mk-logo
Berita
PRN Melaka: Nak muafakat boleh, solo pun boleh - Annuar
Diterbitkan:  Aug 21, 2026 4:34 PM
Dikemaskini: 8:34 AM

Belum ada isyarat jelas terhadap hala tuju kerjasama yang diusahakan oleh PN bersama BN untuk menghadapi PRN Melaka tidak lama lagi.

Pagi tadi Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menegaskan rundingan masih diteruskan oleh kedua-dua parti gabungan namun belum ada ketetapan dibuat.

Petang ini Ketua Penerangan PN, Annuar Musa, pula menyatakan pendirian gabungan tersebut.

Dalam hantaran ringkas di media sosial, Annuar menzahirkan keterbukaan – dan kesediaan – PN menghadapi PRN berkenaan dalam apa juga keadaan.

Di Melaka, kata Annuar, kerajaan yang mentadbir negeri itu ialah BN.

“Biar BN bebas pilih regu.

“PN (pula) bersama rakyat, dan ikut nurani rakyat.

“Muafakat boleh, solo pun boleh,” katanya.

Selepas kejayaan kerjasama dengan BN – secara tidak rasmi di Johor dan rasmi di Negeri Sembilan – hala tuju persefahaman di antara kedua-dua parti gabungan itu belum diputuskan untuk menghadapi PRN Melaka.

Sejak awal Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, memberitahu kerjasama yang mahu dicapai di Melaka tidak tertakluk kepada kaedah di Johor dan Negeri Sembilan.

Kata Abdul Hadi, kedua-dua parti perlu melihat kepada perkembangan dan situasi semasa. Antara lain kerana di Melaka BN “kosong dalam parlimen” apabila semua kerusi untuk Dewan Rakyat – ada enam semuanya – dimenangi sama ada PH atau PN.

Malah hari ini Ahli Parlimen Marang itu – di sebalik kedudukannya yang tiada sebarang jawatan dalam PN – mengaitkan sekali lagi faktor penguasaan kerusi parlimen dalam komen mengenai hala tuju kerjasama PN – BN.

Menurut Abdul Hadi berdasarkan data daripada keputusan parlimen, BN hanya mampu memenangi empat kerusi DUN saja, manakala PN mampu mencatat kejayaan lebih besar.

Pun begitu dia tetap positif ada persefahaman mampu dicapai di Melaka.

"Insya-Allah kalau Johor lebih rumit, Melaka lebih mudah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS