Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'22 cabutan judi: PAS bantah tapi Zafrul lulus'
Diterbitkan:  Sep 1, 2026 12:02 PM
Dikemaskini: 4:30 AM

PAS mengemukakan rekod bantahan beberapa pemimpinnya bagi menjawab sindiran terhadap parti itu berhubung peningkatan jumlah cabutan khas nombor ramalan daripada lapan kepada 22 kali ketika berada dalam kerajaan.

Ketua Pemuda PAS Kelantan Firdaus Nawi berkata beberapa pemimpin dan sayap parti itu membantah peningkatan berkenaan manakala kelulusan diberikan Kementerian Kewangan yang diterajui Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika itu.

Isu 22 cabutan khas itu sebelum ini dibangkitkan pegawai kepada Anwar Ibrahim, sebagai jawapan kepada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang mengecam perdana menteri, dengan berkata Anwar akan dimaki rakyat negeri itu sekiranya membenarkan kegiatan perjudian kembali beroperasi.

Firdaus berkata tindakan mengaitkan PAS dengan keputusan tersebut tidak menggambarkan keseluruhan rekod parti itu.

“Boleh tidak setuju dengan PAS, boleh mengkritik Sanusi dan kerajaan negeri Kedah, tetapi jangan ubah sejarah demi memenangkan hujah politik,” kata Firdaus seperti dilaporkan Harakah Daily semalam.

“Jangan meludah kahak ke langit. Nanti melekat hijau di muka sendiri,” katanya lagi.

Rekod menunjukkan beberapa pemimpin dan sayap PAS secara terbuka membantah peningkatan kepada 22 cabutan khas judi pada 2021.

Antaranya, Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari mendesak kerajaan menarik balik keputusan berkenaan manakala ahli parlimen Bachok ketika itu, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkannya sebagai langkah mengundur ke belakang.

Dewan Ulama PAS turut meminta Kementerian Kewangan mempertimbangkan semula kelulusan berkenaan.

Naib presiden PAS ketika itu, Mohd Amar Nik Abdullah pula meminta kabinet menyemak semula keputusan tersebut.

"PAS sudah nyatakan bantahan secara terbuka dan bantahan secara dalaman oleh ahli kabinet PAS juga telah dibuat," tegasnya seperti dilapor media tempatan pada 23 Sept 2021.

Walaupun dibantah dan dikritik namun peningkatan cabutan judi itu tetap dilaksanakan ketika PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tengku Zafrul kini penasihat politik kanan Anwar merupakan menteri kewangan ketika kerajaan memberikan kebenaran kepada syarikat nombor ramalan mengadakan 22 cabutan khas sepanjang 2021.

Pertikaian terbaru itu tercetus susulan keputusan mahkamah berhubung usaha Kedah melarang operasi premis perjudian di negeri tersebut.

Sanusi desak Anwar haramkan judi

Kerajaan Kedah sebelum ini mengarahkan pihak berkuasa tempatan supaya tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen perniagaan premis perjudian.

Namun, Mahkamah Rayuan memutuskan arahan itu tidak berperlembagaan kerana melampaui kuasa kerajaan negeri serta menceroboh bidang kuasa Persekutuan dan kuasa menteri kewangan dalam hal perjudian dan loteri.

Mahkamah Persekutuan kemudiannya menolak permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan berkenaan.

Susulan itu, Sanusi berkata kini perkara itu menjadi tanggung jawab Anwar selaku menteri kewangan, sambil menggesanya supaya mengharamkan perjudian di Kedah.

Sebagai maklum balas pegawai Anwar dan Kementerian Kewangan membangkitkan keputusan kerajaan terdahulu meningkatkan jumlah cabutan khas kepada 22 kali setahun.

Selepas mengambil alih pentadbiran pada Disember 2022, Anwar mengarahkan jumlah cabutan khas itu dikurangkan kepada lapan kali setahun mulai 2023.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS