Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Hampir kesemua laporan mengenai pilihanraya umum di Pulau Pinang membabitkan pertembungan antara calon Gerakan dan MCA, dengan parti pembangkang khususnya DAP dan PKR kerana sebahagian besar kerusi mempunyai majoriti pengundi Cina.

Pulau Pinang mempunyai 13 kerusi parlimen dan lapan daripadanya bermajoriti pengundi Cina, begitu juga dengan 25 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri tersebut.

Dan sebahagian kerusi terbabit terletak di bahagian pulau manakala bakinya merupakan kerusi majoriti pengundi Melayu di bahagian tanah besar.

Dalam pilihanraya umum 2004 - bagi kerusi parlimen - Umno memenangi empat kerusi, Gerakan (3), MCA (1), DAP (4) dan PKR (1).

Bagi kerusi DUN pula - Umno menangi 14 kerusi, Gerakan (13), MCA (9), MIC (2), DAP (1) dan PAS (1).

Kerusi-kerusi parlimen bermajoriti pengundi Cina ialah Tanjong (86.1%), Bukit Bendera (75.2%), Bukit Gelugor (74.5%), Bukit Mertajam (74%), Bagan (70.6%), Jelutong (64.4%), Batu Kawan (56.%) dan Bayan Baru (48.5%).

Kerusi negeri pula Sungai Puyu (87.7%), Bagan Dalam (52.6%), Bagan Jermal (67.1%), Paya Terubong (84.7%), Seri Delima (64.6%), Air Itam (70.7%), Padang Kota (78.6%), Pengkalan Kota (94.9%), Komtar (82.7%), Berapit (85.5%), Machang Bubok 51.6%), Padang Lalang (84.1%), Perai (51.6%), Bukit Tengah (44.4%), Bukit Tambun (69.6%), Datok Keramat (57.5%), Sungai Pinang ( 57.6%), Batu Lancang (87.6%), Berapit (85.5%), Perai (51.6%), Jawi (58%), Tanjong Bunga (62.5%), Pulau Tikus (70%), Batu Uban (59.1%) dan Pulau Jerjak (48.1%).

Pengundi Melayu

Dua daripada kerusi terbabit - Bagan Dalam dan Perai - ditandingi oleh calon dari MIC kerana masing-masing mempunyai 22.3 peratus dan 35.8 peratus pengundi India.

Walaupun pada amnya, penentu utamanya sokongan pengundi Cina, tetapi menarik juga untuk melihat setakat manakah sumbangan pengundi Melayu di kerusi-kerusi yang dimenangi BN pada 2004.

Bagi kerusi parlimen, peratusan pengundi Melayu di kawasan yang dimenangi parti komponen BN selain Umno ialah Bayan Baru (40.4%), Jelutong (19.6% - majoriti 7,470), Bukit Bendera (13.8% ) dan Batu Kawan (20.5%).

Yang jelas di kerusi-kerusi parlimen dan negeri yang dimenangi calon-calon BN didapati mempunyai majoriti pengundi Melayu antara 10 hingga 40 peratus - dengan undi majoriti antara 1,000 hingga 7,000 undi.

Ini dapat dilihat di kerusi-kerusi DUN Bagan Dalam (24.2% - majoriti 1,967 undi), Bagan Jermal (16.3% - majoriti 3,337), Seri Delima (23.7% - majoriti 4,920), Air Itam (19.5% - majoriti 2,824 undi), Machang Bubok (39.9% - majoriti 5,655), Perai (11.0% - majoriti 583), Bukit Tengah (36.8% - majoriti 4,026), Bukit Tambun (15% - majoriti 1,038).

Kerusi lain ialah Datok Keramat (33.5% - majoriti 5,055), Sungai Pinang (33.1% - majoriti 4,507), Perai (11% - majoriti 583), Jawi (19.2% - majoriti 4,726), Tanjong Bunga (26.2% - majoriti 6,224), Pulau Tikus (12.5% - 6,106), Batu Uban (29.3% - 7,434) dan Pulau Jerjak (41.2% - 5,883)

Manakala dua lagi kawasan DUN - Padang Kota dan Komtar - menunjukkan pertambahan yang tinggi peratusan pengundi Melayu. Pada 2004, peratusan pengundi Melayu di Padang Kota yang dimenangi calon Gerakan dengan majoriti 2,254 undi ialah 5.8 peratus tetapi kini meningkat kepada 12.7 peratus. Manakala di kerusi Komtar pula - yang dimenangi calon MCA dengan majoriti 3,000 undi - meningkat daripada kira-kira 7 kepada 10.8 peratus.

Sokongan kritikal

Beberapa pemimpin Umno yang dihubungi Malaysiakini yakin 90 peratus pengundi Melayu akan terus menyokong calon-calon BN untuk mempertahan kerusi-kerusi yang dimenangi pada 2004.

Menurut mereka, sokongan padu pengundi Melayu amat kritikal di kawasan berkenaan susulan perkembangan isu-isu panas sekarang yang boleh menjejaskan kecenderungan pengundi, terutama bukan Melayu.

Bagaimanapun, seorang pemimpin Umno bahagian Bagan memberitahu, bahawa sentimen pengundi di parlimen berkenaan menunjukan sedikit perubahan yang menguntungkan BN.

"Pengundi bukan Melayu, khususnya Cina di Bagan, nampaknya tidak begitu mahu menerima calon DAP Lim Guan Eng kerana beliau merupakan orang luar.

"Manakala pengundi Melayu pula, kami yakin 90 peratus daripada mereka akan terus menyokong BN," katanya.

Dalam pilihanraya umum lalu, kerusi parlimen tersebut dimenangi calon DAP, Lim Hock Seng dengan majoriti 3,622 undi. Lim mendapatkan 23,095 undi untuk menewaskan calon BN Lim Chien Aun dari MCA yang memperolehi 19,473 undi.

DAP juga memenangi satu daripada tiga kerusi DUN di Bagan, iaitu kerusi Sungai Puyu dengan majoriti tipis 607 undi.

Pertahan kerusi

Manakala dua lagi kerusi DUN di situ dikuasai calon MIC (Bagan Dalam) dan calon MCA (Bagan Jermal) masing-masing dengan majoriti 1,967 undi dan 3,337 undi.

Berdasarkan keputusan tersebut, kalangan pemimpin BN, khususnya Umno, merasakan BN mampu mempertahankan kerusi Bagan Dalam dan Bagan Jermal dan merampas semula kerusi Sungai Puyu.

Guan Eng, setiausaha agung DAP, bertanding di Bagan yang mempunyai majoriti 70.6 peratus pengundi Cina, dengan 15.3 peratus Melayu dan 13.6 peratus India.

Sementara itu, beberapa pemimpin bahagian di kerusi parlimen dan DUN yang kini diwakili pembangkang berkata, mereka masih mengikuti perkembangan bagi mendapatkan gambaran sebenar sokongan pengundi dalam pilihanraya umum kali ini.

"Kami akantahu kedudukan persaingan di tempat masing-masing minggu depan," kata seorang pemimpin Umno bahagian Bukit Mertajam.

Parlimen Bukit Mertajam dimenangi calon DAP Chong Eng dengan majoriti 8,564 undi pada 2004. Kerusi ini mempunyai 59,196 pengundi majoriti Cina (74%), Melayu (17.9%) dan India (7.9%).

Bagaimanapun, ketiga-tiga kerusi DUN di Bukit Mertajam dimenangi oleh BN: Berapit (MCA - majoriti 3,966), Padang Lalang (MCA - majoriti 535) dan Machang Bubok (Gerakan - majoriti 5,656).

Machang Bubok mempunyai pengundi Melayu sebanyak 39.2 peratus.

ADS