Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kira-kira 1,000 penduduk di taman perumahan di bandar Mahkota di Cheras berhimpun petang ini bagi menghalang syarikat konsesi - Grand Saga - membina semula tembok menutup jalan masuk ke perumahan mereka.

Mereka mula berkumpul tengahari tadi selepas mendapat tahu yang syarikat berkenaan akan memulakan kerja membina tembok penghalang tersebut.

mahkota cheras road barricade problem location of barricade 300408 Sebelum ini, tembok penghalang di situ telah dibuang pada 21 April lalu, selepas bantahan keras dari penduduk yang sama.

Pada kira-kira jam 3 petang, para pekerja dilihat mahu memulakan kerja-kerja pembinaan tembok di situ tetapi dihalang oleh penduduk terbabit.

Menurut pengerusi jawatankuasa bukan jalan, Tan Boon Wah, beliau telah merampas kunci jentolak yang digunakan untuk membina tembok tersebut.

Manakala ada juga yang bertindak nekad duduk di tempat di mana tembok itu sepatutnya dibina.

Kemudian, kira-kira jam 4.50 petang, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menghantar seorang pegawai dari Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengarahkan syarikat konsesi itu menangguhkan kerja tersebut.

Polis tiba

Tetapi pengarah eksekutif syarikat konsesi tersebut, Zainal Abidin Ali menafikan menerima sebarang arahan daripada LLM.

Sebaliknya, tegas beliau, pihaknya akan meneruska kerja untuk membina tembok menutup jalan tersebut, demi keselamatan lalulintas di situ.

Selepas itu, penduduk dilihat mula bersurai tetapi menjadi kecoh semula apabila mereka melihat lapan trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU), termasuk meriam air tiba di situ.

Ia menyebabkan berlaku kesesakan lalulintas yang teruk. Polis juga mengadakan sekatan di jalan tersebut.

Selepas rundingan antara ahli parlimen Cheras, Tan Kok Wai dan ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching dengan pihak polis, penduduk di situ diarah bersurai.

Menurut Teo, polis menerima arahan daripada peguam negara supaya jalan tersebut mesti ditutup semula.

Pada jam 6.45 petang, polis mengeluarkan arahan kepada penduduk yang berkumpul di situ supaya bersurai.

Anggota FRU kemudiannya mengguna perisai untuk menolak orang ramai dari tembok tersebut, menyebabkan keadaan menjadi tegang antara penduduk dan polis.

Dua ditangkap

Dalam proses tersebut, dua orang penduduk - kedua-duanya lelaki - ditahan.

Selepas itu, para pekerja Grand Saga memasang tembok konkrit untuk menutup jalan tersebut.

Ahli exco Selangor, Ean Yong Wah, yang berada di situ mengecam tindakan polis yang disifatkannya "bias dan tidak munasabah".

"Saya telah menunjukkan dokumen dari Jabatan Tanah Hulu Langat yang dengan jelas menyatakan, kawasan tembok itu milik kerajaan negeri, tetapi ketua polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar tidak percaya dan sebaliknya bertindak bagi pihak Grand Saga pula," katanya.

Ean berkata, beliau akan meminta MPKj membuang tembok yang baru dipasang itu, esok.

Polis meninggalkan kawasan tersebut pada kira-kira jam 8.20 malam selepas penduduk mula beredar ddari situ.

Komen MB S'gor

Bagaimanapun, penduduk tidak bergerak. Ekoran itu, anggota FRU menggunakan perisai untuk menyuraikan mereka.

Terbaru, pekerja syarikat konsesi telah memasangkan tembok penghalang di situ, manakala orang ramai mengejek mereka.

Sementara itu, ketika mengulas kejadian di bandar Mahkota, menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri sedang mengaturkan pertemuan dan dialog tiga penjuru antara kerajaan negeri yang diketuai Ronnie Liu, syarikat konsesi Grand Saga dan Kementerian Kerja Raya supaya semua pihak dapat manfaat.

Beliau berkata pertemuan itu mungkin diadakan akhir bulan ini.

"Krisis akan sentiasa berterusan kerana ada dua kumpulan. Satu kumpulan hendakkan jalan supaya tidak membayar tol. Orang yang memiliki tol merasakan mereka jika mereka (orang ramai) menggunakan jalan ini (melalui tembok penutup jalan), mereka tidak akan dapat mengutip tol yang sepatutnya.

"Tapi kerajaan negeri Selangor berpendapat, dan saya buat kajian, jika tanah yang terlibat itu melibatkan tanah kerajaan negeri Selangor, benteng untuk menyekat perjalanan tidak boleh dibuat," kata Khalid.

map of disputed access road from bandar mahkota cheras

ADS