Most Read
Most Commented
Read more like this

Polis sekali lagi campur tangan bagi membatalkan persembahan teater satira politik 'Tok Ampoo' yang dijadualkan 10 Februari depan di Hotel Antarabangsa Kuala Lumpur, dakwa penganjur.

Penyelaras teater itu, Zulkiflee SM Anuar, menjelaskan beliau dimaklumkan oleh seorang pegawai pemasaran hotel itu bahawa permohonan itu ditolak kerana "arahan pihak polis."

"Kita sudah menerima kelulusan permohonan (daripada hotel) tetapi ditolak Isnin lalu (dengan alasan) arahan pihak atasan," kata kartunis itu, yang lebih dikenali Zunar.

Menurutnya, sebelum ini tiga permohonan kumpulan itu untuk mendapatkan kemudahan dewan di Bangunan Angkasa, Kelana Jaya di Selangor dan sebuah hotel di Kuantan, Pahang ditolak.

Seorang pegawai pemasaran Hotel Antarabangsa Kuala Lumpur mengesahkan penolakan permohonan kumpulan teater itu.

"Ini atas arahan (seseorang yang bergelar) Tan Sri," tegasnya kepada malaysiakini , tetapi enggan memberi penjelasan selanjutnya.

"Sekiranya (anjuran) Umno sekalipun, kita (hotel) akan tolak."

Tambah pegawai wanita itu, hotel itu juga menerima tempahan lain dengan bayaran yang agak lumayan. "Mereka sanggup membayar penuh, orang business tentu kita terima," katanya. Hotel bertaraf tiga bintang itu dipercayai dimiliki sebuah persatuan koperasi polis.

Bagaimanapun penganjur teater Aznan Abu Bakar berkata, pihaknya tetap akan meneruskan persembahan itu dengan memindahkan acara itu ke Pusat Latihan Abim, Sungai Ramal, Kajang pada hari yang sama.

"Kita hanya menganjurkan program kebudayaan dan tidak mempunyai agenda politik tertentu," kata Aznan, yang juga Naib Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional Pahang.

Beliau yang pernah menganjurkan persembahan itu di Kuantan tahun lalu memberitahu, Hotel Vistana di bandar itu menolak permohonan menyewa dewan sehari sebelum persembahan dimulakan.

"Penganjur terpaksa menanggung kos iklan, poster dan tiket yang telah dicetak," katanya, sambil menambah persembahan kali ini dijadualkan dirasmikan oleh Presiden Keadilan Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Teater itu berjaya dipentaskan di Hotel Pelangi Muar baru-baru ini setelah penganjur memberikan penjelasan kepada polis bahawa ia tidak akan mencetuskan keadaan yang tidak diingini. Teater yang menggambarkan suasana politik semasa itu diarahkan penulis kolum malaysiakini Hishamuddin Rais.

ADS