BERITA

Raja Petra bayar diikatjamin, dibebas esok

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan
Dikemaskini 8 Mei 2008, 8:59 pagi

Pengendali lamanweb Malaysia Today , Raja Petra Kamarudin membayar diikatjamin sebanyak RM5,000 di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya jam 2.45 petang tadi.

Ikatjamin tersebut dibayar oleh peguam Raja Petra, J Chandra kepada Hakim Nurmala Salim di dalam kamarnya.

raja petra 080508 marina lee and lawyer j chandra 01 Chandra memberitahu, Raja Petra akan dibawa ke mahkamah yang sama pagi esok untuk dibebaskan dengan ikatjamin.

Ditanya sama ada Raja Petra akan dibebaskan hari ini, beliau berkata, Hakim Nurmala mahu Raja Petra dibebaskan mengikut prosedur OTP (Arahan bawa ke mahkamah) yang mengambil masa 24 jam untuk dibebaskan.

"Jadi kita bersetuju dan akur dengan keputusan hakim itu," kata Chandra.

Malaysiakini difahamkan, sebanyak RM44 000 telah terkumpul hasil daripada kempen "satu ringgit seorang" untuk membayar wang jaminan untuk membebaskan Raja Petra.

Raja Petra, yang didakwa atas tuduhan menghasut, enggan membayar ikatjamin RM5,000 kerana tidak mampu menjelaskannya.

Kes tersebut akan didengar pada 6 hingga 10 Oktober.

Semalam beliau enggan berjumpa sesiapapun, termasuk isterinya dan dikatakan mengadakan mogok lapar.

Nota pada suami

Menurut Marina, dia telah berjumpa dengannya di penjara sungai Buloh selama sepuluh minit pagi tadi.

raja petra in jail prison Raja Petra menurutnya, kelihatan sihat tetapi ada mengadu sakit belakang.

"Raja Petra sudah berhenti mogok lapar dan apabila dia ditanya sama ada sudah minum atau tidak, beliau menjawab ya, sudah minum.

"Dan nota yang saya telah diberikan - untuk memujuk beliau agar tidak mogok lapar, dan agar diikat jamin - jelas banyak membantu usaha untuk membebaskannya" jelas Marina lagi.

Marina menulis dalam notanya juga, "I want you home", untuk memujuk beliau bersetuju diikatjamin dan menurut Marina, ia benar-benar membantu.

Kelmarin,Raja Petra dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya berhubung satu artikel yang ditulis dalam lamanwebnya itu.

Artikel tersebut didakwa mengaitkan timbalan perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Raja Petra didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan kerana menyiarkan artikel yang didakwa berunsur hasutan itu pada 25 April dalam Malaysia Today .

Beliau juga merupakan blogger pertama di Malaysia yang didakwa atas tuduhan menghasut.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.