Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang surirumah mendakwa suaminya didera dan gagal dirawat dengan rapi sewaktu ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sehingga mengalami kelumpuhan.

Dalam laporan polisnya hari ini, Sharmila Uthiakumar mendakwa Sanjeev Kumar Krishnan dibelasah dalam tempoh siasatan selama 55 hari sejak 28 Julai tahun lepas.

"Bahagian badan dan kepala beliau ditumbuk dan ditendang dengan kasut. Bahagian tulang beliau ditendang beberapa kali dengan menggunakan kaki.

"Kaki kiri dan tangan kiri beliau dipukul beberapa kali dengan menggunakan objek yang keras seperti kayu.

"Selain itu, beliau juga selalu dipukul dengan menggunakan botol yang berisi air," kata Sharmila dalam aduannya di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur pagi ini.

Beliau diiringi tiga anggota keluarganya. Hadir sama ialah pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh dan beberapa aktivis gerakan tersebut.

Dalam laporan polis itu lagi, Sharmila juga mendakwa suaminya didera dengan teruk, termasuk "dipaksa meminum air kencing sendiri, selain kemaluannya dipukul dan dijolok dengan objek keras".

Dipindah kem

Selepas ditahan hampir dua bulan, dakwanya, suaminya dipindahkan ke kem tahanan Kamunting di Taiping mulai 22 September lalu.

Sharmila, seorang pengawal keselamatan, mendakwa akibat kesakitan yang dialami suaminya di bahagian tangan dan kaki kiri, Sanjeev Kumar terpaksa dibawa ke hospital Taiping bulan lalu tetapi tidak mendapat rawatan sewajarnya.

"Pada malam hari yang sama (11 April lalu), Sanjeev Kumar mengadu sakit dan kali ini beliau telah dimasukkan dalam wad (hospital Taiping) kerana keadaan yang serius," katanya lagi dalam aduan polis itu.

Seminggu kemudian, dakwanya, suaminya dibawa keluar dari hospital tersebut.

"Namun, beliau kini menggunakan kerusi roda untuk kehidupan hariannya kerana kaki dan tangan sebelah kiri tidak lagi berfungsi dan beliau menjadi lumpuh," katanya.

"Akibat kesihatan beliau yang amat teruk, kini suami saya telah kehilangan berat badan yang amat banyak. Beliau sentiasa kelihatan tidak bermaya dan sakit," tegas Sharmila dalam laporannya itu

Syed Ibrahim pula, dalam kenyataannya, berkata Sanjeev Kumar ditahan di kem tersebut atas tuduhan "ejen perisik asing."

ADS