Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sedang mengkaji status 86 penduduk Kampung Abdullah Hukum sebelum menawarkan 103 unit apartmen di kawasan tersebut, kata datuk bandar Datuk Ab Hakim Borhan hari ini.

DBKL belum meluluskan permohonan penduduk kerana sedang meneliti syarat-syarat dan kelayakan untuk memasuki kediaman itu.

"Ia (kelulusan itu) berdasarkan status dan kelayakan iaitu ada rumah di tapak tanah berkenaan dan buktikan pernah duduk di situ, tak boleh (setakat) mendakwa 'saya pernah duduk di situ'. Kena ada tunjukkan bukti pernah duduk di situ," kata Ab Hakim di sesi dialog datuk bandar dengan media hari ini.

"Saya rasa bagi orang yang kata, (mereka) dulu-dulu pernah duduk di situ, (jika mereka) tidak ada bukti, tidak dapatlah. Saya rasa mereka ini tergolong dalam kategori ketiga, yang disokong oleh penduduk di situ."

Beliau juga menjelaskan, proses ini memakan masa yang panjang kerana DBKL harus membuat soal selidik dan merujuk status pemohon kepada pemimpin masyarakat di situ.

Menurut maklumat dewan bandaraya, daripada 79 penduduk yang memohon dalam kategori tiga, yakni penduduk asal yang ingin membeli unit apartmen tersebut, hanya 19 orang dianggap layak.

DBKL juga sedang menimbangkan 46 rayuan untuk membeli unit tersebut dan keputusan akan dibuat selepas tawaran kepada mereka yang layak dalam kategori tiga.

Berhubung status pemilikan tanah di Lot 25 Kampung Baru yang didakwa peniaga masih dipegang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), datuk bandar berkata DBKL telah membeli tanah itu sejak lebih 20 tahun lepas.

"DBKL telah membeli tanah di situ (Lot 25) daripada PKNS pada tahun 1986 dan proses pertukaran nama sudah selesai," katanya.

Ab Hakim berkata proses pertukaran nama sudah selasai tetapi ia memakan masa yang lama, antaranya kerana banyak kaveat.

"Memang kalau ditengok (pada daftar carian tanah) memang tidak ada nama DBKL, tetapi proses itu sudah ada. Dari segi perjanjian sudah ada dah," katanya lagi.

Mengulas perobohan gerai penjaja di Taman Desa Setapak, seorang pegawai DBKL yang hadir sesi dialog itu berkata, gerai itu dimiliki penjaja yang tidak berlesen.

Ditanya rayuan peniaga agar dewan bandaraya menangguhkan perobohan tersebut, Ab Hakim berkata: "Kita sudah bagi notis sejak tahun 2001, cukup."

ADS