Kira-kira 48 kanak-kanak, dengan ditemani kira-kira 30 penyokong Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) berarak kira-kira 100 meter menujuk ke kawasan Istana Negara pagi tadi untuk menyerahkan 'teddy bear' kepada Yang di-Pertuan Agong sempena menyambut Hari Bapa.

Mereka tiba dengan sebuah bas, kira-kira jam 10.40 pagi. Perarakan itu terdiri daripada kanak-kanak yang terdiri daripada umur tujuh tahun hingga 12 tahun telah beratur untuk menuju ke Istana.

palace teddy bear 140608 kids walking Sambil berarak mereka mereka memegang teddy bear yang diletak dalam bakul. Turut bersama berarak ialah kira-kira 30 penyokong Hindraf, termasuk beberapa pemimpin, sambil melaungkan "Daulat Tuanku" dan "Bebaskan Tahanan ISA".

Perarakan itu telah diketuai oleh Penyelaras Hindraf, R S Thanenthiran dan S Jayathas. Mereka berarak ke kawasan istana dan tiba di situ kira-kira 10 minit kemudian.

Sebelum itu, penasihat undang-undang Hindraf, N Surendran telah ditahan polis bersama-sama dengan tiga ahli Parlimen PKR kerana didakwa menghalang polis menjalankan tugas di depan Istana Negara.

Bagaimanapun, ketika menghampiri Istana Negara, perarakan mereka terhenti kerana jalan masuk ke situ telah dihalang oleh kira-kira 20 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU). Turut berada di situ ialah kira-kira 30 lagi anggota polis biasa.

palace teddy bear 140608 celebrate Thanenthiran kelihatan berbincang sesuatu pihak polis. Bagaimanapun, mereka masih tidak dibenar meneruskan perarakan menuju ke pintu utama istana.

Sambut Hari Bapa

Semasa menunggu di situ, orang dewasa yang menyertai kumpulan tersebut kedengaran melaungkan berkali-kali ' Bebaskan Uthayakumar', 'Daulat Tuanku', We Love The King', Raja Sayang Anak', dan 'Agong Cintakan Anak'.

Beliau kedengaran memberitahu pihak polis bahawa kehadiran mereka adalah semata-mata untuk menghadiahkan 'teddy bear' kepada Yang di-Pertuan Agong sempena sambutan Hari Bapa esok.

Sebelum ini dilaporkan bahawa acara simbolik itu adalah bagi menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 70 kanak-kanak telah dinafikan hak untuk menyambut Hari Bapa kerana bapa-bapa mereka sedang ditahan di Pusat Tahanan Kamunting di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

bm lima tahanan hindraf Antara yang ditahan di Kamunting ialah lima pemimpin Hindraf itu - M Manohan, P Uthayakumar, V Ganabatirau, R Kengadharan dan K Vasantha Kumar.

Mereka ditahan pada 13 Disember tahun lalu, selepas terbabit menganjurkan perhimpunan 25 November lalu serta membuat kenyataan yang berunsur hasutan terhadap kerajaan.

Seorang daripada mereka, Manoharan bertanding dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu atas tiket DAP dan menang kerusi negeri Kota Alam Shah.

Beliau memperolehi 12,699 undi untuk menewaskan calon BN-Gerakan, Ching Su Chen yang memperolehi 5,515 undi.

Benar serah 'teddy bear'

Ketika Thanenthiran sedang berbincang dengan anggota polis di situ, kanak-kanak terbabit kelihatan mendiam diri, dan di wajah mereka terbayang rasa takut.

Seorang wartawan meminta orang ramai supaya memberi ruang udara kepada kanak-kanak tersebut yang kelihatan rimas dan berpeluh kerana kepanasan.

Jam sudah menunjukkan jam 11.15 pagi dan hari semakin panas. Manakala lalulintas agak sesak apabila pemandu memperlahan kenderaan mereka untuk melihat apa yang berlaku di situ.

Kemudian kelihatan Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu muncul dan berjalan menuju ke Thanenthiran untuk membantu berbincang dengan pihak polis.

palace teddy bear 140608 bears Turut kelihatan di situ ialah Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman yang berpakaian sukan dan Ketua Polis Brickfields, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid.

Sejurus kemudian, Muhammad kelihatan mengarah anggotanya supaya membenarkan kanak-kanak tersebut berjalan menuju ke arah pintu utama istana.

Thanenthiran kemudiannya memberitahu mereka yang berkumpul di situ bahawa usaha untuk menghubungi pihak istana bagi menerima 'teddy bear' tersebut, gagal.

Diminta beredar

Ekoran itu, Thanenthiran memutuskan untuk menyerahkan 'teddy bear' tersebut kepada Ronnie selaku wakil kerajaan negeri Selangor.

palace teddy bear 140608 ronnie accept Beliau meminta Ronnie supaya menyerahkan kesemua 'teddy bear' itu kepada Yang di-Pertuan Agong pada hari yang sesuai.

Sebelum itu, kedengaran seorang bapa memberitahu anaknya dan kanak-kanak yang lain, dalam bahasa Tamil supaya bersabar kerana menurutnya, Raja akan menemui mereka.

Apabila mereka melihatkan Ronnie yang menerima 'teddy bear' tersebut, seorang daripadanya dia terus kepada bapanya, apakah orang itu (Ronnie) Raja berkenaan.

Tidak lama selepas itu, mereka pun beramai-ramai bersurai secara aman.

Sebelum ketibaan tersebut, polis telah menahan tiga ahli Parlimen PKR - Zuraida Kamaruddin (Ampang), Sivarasa Rasiah (Subang) dan PKR S Manikavasagam (Kapar) serta tiga orang lagi kerana didakwa menghalang tugas polis yang diarahkan mengawal kawasan tersebut.

palace teddy bear 140608 arrested Sebelum ditahan, Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid memberi masa selama lima minit kepada mereka untuk beredar dari situ.

Bagaimanapun, mereka enggan berbuat demikian kerana menganggap mereka tidak melakukan kesalahan untuk berada di situ.

Menurut Zuraida, yang juga ketua Wanita PKR, beliau datang ke situ sebagai mewakili presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Sivarasa pula adalah naib presiden PKR. Zuraidah adalah ketua Wanita PKR, manakala Manikavasagam pula adalah anggota Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) PKR.

Tiga orang lagi itu ialah N Surendran (penasihat undang-undang Hindraf); Salmah Ismail (setiausaha Zuraida) dan Loude Mary (aktvis Hindraf).

Pada masa yang sama, terdapat kira-kira 200 pelancong asing yang berada di situ dan pihak polis telah meminta mereka beredar dari kawasan tersebut.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS