Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, polis akan menunggu untuk melihat sama ada penganjur satu lagi perhimpunan besar-besaran membantah kenaikan minyak, yang dijadual 5 Julai depan, akan memohon permit atau sebaliknya.

musa hassan Beliau menegaskan demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian mesyuarat peringkat pegawai-pegawai kanan negara-negara Asean (SOMTC) oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar di ibu negara pagi tadi.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Perhimpunan besar-besaran membantah kenaikan harga minyak itu pada mulanya dirancang oleh Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) diadakan di ibu negara pada 12 Julai.

Bagaimanapun, tarikh itu telah disegerakan kepada 5 Julai. Ia dijangka akan diadakan di KLCC.

Protes minggu lalu mengumumkan sasaran baru perhimpunan itu sejuta orang dan ia kini digelarkan 'Perhimpunan Aman Protes Sejuta Rakyat' dan akan menggunakan simbol warna merah.

petrol price hike protest kg baru sogo 130608 30 Kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak sebanyak 78 sen bagi petrol, menjadi RM2.70 seliter dan RM1 bagi diesel kepada RM2.58 sen, berkuatkuasa 5 Jun.

Jumaat lepas, Pemuda Pakatan Rakyat telah menganjurkan satu demonstrasi membantah kenaikan harga tersebut - perhimpunan terbesar setakat ini (foto kanan) , selain beberapa perhimpunan kecil di seluruh negara.

Kira-kira 2,000 menyertai perarakan yang bermula dari masjid Kampung Baru, menuju ke Kompleks Sogo di ibu negara, selepas pihak polis menutup laluan ke KLCC.

Pagi tadi, Syed Hamid mempelawa pembangkang bekerjasama dalam mencari jalan terbaik untuk mengatasi masalah kenaikan harga minyak dan mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat.

Beliau berkata, kenaikan harga minyak adalah fenomena antarabangsa dan tindakan berdemonstrasi tidak menyelesaikan masalah kenaikan harga bahan itu.

ADS