Perhimpunan Melayu BBM tanpa permit: Polis
Polis hari ini mengesahkan perhimpunan 'Melayu Tak Akan Hilang di Dunia' anjuran Badan Bertindak Melayu (BBM) yang bakal diadakan Ahad ini tidak mempunyai permit.
"Permit itu ditolak atas sebab-sebab keselamatan," jelas Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Supt. Mohd Kasni Mohd Nor kepada malaysiakini .
Apabila ditanya langkah polis mengawal perhimpunan itu yang mendapat bantahan beberapa pihak, Mohd Kasni menjelaskan "sewajarnya polis bersiap-sedia setiap masa."
Sementara Ketua Penerangan BBM, Datuk Haji Jamaludin Abu Bakar menjelaskan polis Dang Wangi memaklumkan kepadanya semalam bahawa permit yang dipohon dua minggu lepas "telah diluluskan."
Bagaimanapun apabila diberitahu polis tidak meluluskan permit perhimpunan itu yang dijadualkan di Kampung Baru, Kuala Lumpur, beliau berkata perhimpunan yang tertunda sejak 21 Januari lalu akan tetap diteruskan.
"Persiapan telah dibuat 100 peratus, sekiranya pembangkang boleh mengadakan perhimpunan tanpa permit, mengapa kita tidak (boleh menganjurkan perhimpunan ini)," kata Jamaludin. .
Semalam malaysiakini melaporkan Ketua Bahagian Parti Keadilan Nasional Ampang Jaya, Ahmad Hassan dan timbalannya, Rosli Ibrahim membuat satu laporan polis bagi membantah perhimpunan itu.
Dalam laporan itu, mereka berkata ia bersifat perkauman melampau dan boleh menggugat perpaduan di kalangan penduduk berbilang kaum di negara ini. ([#1] Police report against Sunday rally cites 'racial tension' [/#], 1 Feb)
Naib Presiden Keadilan, Tian Chua hari ini pula menggesa aktivis reformasi dan penyokong Barisan Alternatif agar tidak terlibat dengan acara tersebut.
"Kita menghormati hak ahli Umno untuk berhimpun walaupun tajuk perhimpunan sendiri ada unsur provokatif," katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional yang selama ini menafikan hak berkumpul secara aman akhirnya akur bahawa pada masa-masa tertentu perhimpunan diperlukan.
Pemimpin Umno yang terlibat dalam perhimpunan itu diharapkan tidak akan mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan kaum bukan Melayu, tambahnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.