Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Pegawai tugas-tugas khas menteri besar Selangor, Yahya Sahri meletakkan jawatannya itu atas alasan "hilang keyakinan terhadap kepemimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim".

Yahya, yang mengirim surat peletakan jawatannya kepada bekas ketuanya itu petang tadi, juga melepaskan jawatannya sebagai setiausaha perhubungan PKR Selangor.

mohd yahya mat sahri pc ceramah 230608 01 Selain hilang keyakinan, menurut surat peletakan jawatannya, Yahya tidak menyebut sebab-sebab lain kecuali ia akan "dinyatakan kemudian."

Surat itu dikirim kepada pejabat menteri besar melalui faksimili kira-kira 3.45 petang tadi.

Abdul Khalid pada sebelah pagi mengumumkan penggantungan jawatan Yahya - yang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan salah guna kuasa dua minggu lepas - sebagai pegawai kanannya berkuatkuasa hari ini selama dua bulan.

Surat rasmi tindakan itu dikeluarkan hari ini, kata pejabat menteri besar dalam satu kenyataan.

Abdul Khalid semalam mengirim mesej SMS kepada Yahya (foto atas, berdiri) memaklumkan tindakan yang bakal diambilnya hari ini bagi mengelakkan pegawainya itu "terperanjat."

yahya sahri Dalam ucapannya di depan hampir 200 penyokong di kediamannya di Seksyen 4 Shah Alam malam ini, Yahya juga mendesak Abdul Khalid meletakkan jawatannya sebagai ketua perhubungan PKR Selangor.

Yahya mencadangkan jawatan itu diserahkan kepada ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ditemui Malaysiakini selepas ucapannya kira-kira jam 10 malam, Yahya berkata beliau telah bercakap dengan presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini berhubung tindakan penggantungan terhadapnya dan kedudukannya itu.

Menurutnya, ahli parlimen Permatang Pauh itu mencadangkan beliau bertemu sendiri dengan Anwar.

mohd yahya mat sahri pc ceramah 230608 03 Beliau dijadual bertemu penasihat parti itu di pejabatnya jam 2 petang esok dan dipercayai akan membawa "beberapa tuntutan."

Yahya, seorang aktivis lama PKR, berkata beliau mendapat sokongan dan berpengaruh dalam kalangan 70 hingga 80 peratus bahagian di negeri itu.

Beliau juga menjelaskan bahawa beliau tidak meluluskan sebarang projek atau tender, tetapi hanya memberikan surat sokongan.

Sementara itu di kediaman rasminya, Abdul Khalid memberikan taklimat isu ini kepada wakil-wakil rakyat PKR Selangor, termasuk ahli-ahli parlimen.

Bagaimanapun tidak semua ahli parlimen hadir kerana sesi Dewan Rakyat berakhir lewat bagi membahaskan usul kenaikan harga minyak hari ini.

Sehingga kini belum jelas butiran perbincangan mereka yang bermula kira-kira 8 malam hingga selepas tengah malam tadi - termasuk mereka yang hadir dalam pertemuan lebih awal di rumah Yahya.

Malaysiakini difahamkan pertemuan ini "panas" mengenai pelbagai isu pentadbiran kerajaan negeri, termasuk "10 peratus sahaja" isu berhubung penggantungan Yahya.

Abdul Khalid mendedahkan penglibatan bekas pegawai kanannya itu dalam isu tersebut, termasuk maklum balas yang beliau perolehi daripada siasatan awal BPR.

mohd yahya mat sahri pc ceramah 230608 04 Pada 10 Jun lalu, badan itu memanggil Yahya selama empat jam berhubung siasatan kes kontrak dan tender pembersihan serta kutipan sampah di kawasan Petaling Jaya.

Siasatan itu susulan aduan sekumpulan empat orang pada 5 Jun kepada BPR dengan dakwaan pegawai kanan tersebut menggunakan kepala surat pejabat menteri besar tanpa keizinan.

Di sidang medianya hari ini, menteri besar itu berkata jika tidak bersalah, pegawai kanan itu akan diambil semula bekerja.

"Kita tulus, kita kena buat dengan betul. Kalau pegawai itu tidak bersalah maknanya dia akan diambil balik untuk bekerja, kalau bersalah kita akan ambil tindakan yang sewajarnya," katanya selepas melancarkan Pusat Khidmat Merakyatkan Ekonomi Selangor (M.E.S) di Shah Alam.

Abdul Khalid menambah, siasatan BPR mendapati pada keseluruhannya ia bukanlah kesalahan daripada segi undang-undang tetapi daripada segi "tingkah laku yang tidak wajar".

ADS