Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dicabar menafikan pertemuan sulit beliau bersama Mohd Saiful Bukhari Azlan dan beberapa orang lain tidak lama sebelum laporan polis dakwaan liwat dibuat Sabtu lalu.

"AMK percaya bahawa wujud kerjasama terancang yang melibatkan Najib dan kuncu-kuncunya dalam konspirasi ini, bertujuan untuk mengelakkan pendedahan gempar Raja Petra Kamarudin melalui perakuan sumpah beliau mengenai pembunuhan Altantuya Shaaribuu," kata ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini.

"AMK mencabar Najib untuk menafikan bahawa wujud satu pertemuan sulit yang melibatkan beliau dan Saiful dengan disertai oleh beberapa orang lain beberapa hari sebelum laporan polis dibuat oleh Saiful pada 28 Jun 2008."

anwar ibrahim and saiful bukhari azlan Kelmarin, Najib telah membuat penafian beliau terbabit dengan laporan kes liwat Mohd Saiful terhadap ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Shamsul Iskandar menyifatkan penafian menteri pertahanan itu sebagai "pembohongan" dan "sangat dangkal".

Dalam kenyataannya hari ini, beliau juga berkata kenyataan pemimpin negara itu "bercelaru".

"Kenyataan Najib bahawa kehadiran Saiful bertemu pegawai khasnya pada 12 Februari lepas 'untuk mendapatkan sokongan permohonan biasiswa kerajaan untuk melanjutkan pelajaran' juga menimbulkan pertikaian besar," kata Shamsul Iskandar.

"Bagaimanakah seorang bekas mahasiswa yang menamatkan pengajian awal boleh memohon biasiswa?"

Angkatan Muda PKR juga menyeru pegawai polis dan kakitangan Jabatan Peguam Negara tampil untuk memberikan maklumat-maklumat berkaitan dengan dakwaan wujud usaha terancang yang melibatkan Najib.

ADS