BERITA

Raja Petra beri keterangan

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan
Dikemaskini 5 Jul 2008, 12:39 tengahari

Raja Petra Kamaruddin memberi keterangan selama kira-kira dua jam setengah di balai polis Sentul petang ini, berhubung akuan berkanun yang dibuatnya yang mendakwa isteri timbalan perdana menteri berada di tempat kejadian tempat Altantuya Shaariibuu dibunuh.

Beliau tiba kira-kira jam 5.10 petang ditemani isterinya, Marina Lee Abdullah dan dua orang peguam.

Raja Petra mula memberi keterangan mulai jam 5.15 pagi dengan ditemani oleh seorang peguamnya. Beliau selesai memberi keterangan pada jam 7.40 malam tadi.

Turut hadir ialah Exco Kerajaan Selangor, Ronnie Liu serta kira-kira 30 orang penyokong Raja Petra yang berkumpul di perkarangan balai tersebut.

Pada kira-kira jam 5.40 petang, lebih kurang 20 orang lagi penyokong Raja Petra sampai ke balai tersebut, menjadikan jumlah mereka meningkat kepada 50 orang.

Sebahagian daripada mereka kelihatan memakai baju-T berwarna kuning dengan tertera gambar Raja Petra serta tulisan JUSTICE FOR All...tantuya.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Raja Petra berkata, polis mengambil kenyataannya mengikut Seksyen 112 berkaitan dengan laporan polis yang dibuat terhadapnya oleh Pejabat Peguam Negara (AG)

Menurutnya, laporan tersebut dibuat oleh pejabat AG pada 20 Jun lalu mengikut Seksyen 203 Kanun Keseksaan, iaitu jenayah membuat pengisytiharan palsu.

Bagaimanapun, katanya, soal siasat hari ini lebih bertumpu kepada siapakah yang memberi maklumat kepadanya.

raja petra kamaruddin Katanya, polis juga ingin tahu sama ada beliau telah memberi kebenaran kepada Malaysiakini untuk menyiarkan akuan berkanunnya itu.

"Mereka juga mahu tahu mengenai lamanweb yang bernama Bigdog.com," katanya.

Ekoran itu, katanya, beliau bertanya kepada mereka sama ada siasatan hari ini mengenai akuan bersumpahnya atau mengenai Malaysiakini ataupun lamanweb Bigdog.com

Bagaimanapun, katanya mereka tidak menjawab.

Katanya, mereka juga bertanya sama ada beliau boleh mendedahkan sumber maklumatnya.

"Saya beritahu mereka bahawa saya tidak boleh mendedahkannya demi keselamatan pemberi maklumat tersebut," katanya.

Raja Petra juga berkata, mereka memberitahunya ada lagi laporan yang akan dibuat terhadapnya dan mereka mungkin akan mendakwanya.

Katanya, beliau memberitahu mereka yang beliau bersedia dihadapkan di mahkamah.

VIP disebut

Sebelum ini, Marina memberitahu Malaysiakini, suaminya menerima panggilan telefon dari pihak polis pagi ini dan mengesahkan suaminya akan pergi ke balai polis Sentul petang ini.

Raja Petra memperakui dalam satu akuan berkanun bahawa tiga individu termasuk isteri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak - Datin Seri Rosmah Mansor - berada di tempat kejadian ketika Altantuya dibunuh.

Selain Rosmah, Raja Petra turut menyebut dalam akuan berkanunnya itu nama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan menantunya, Khairy Jamaluddin.

Khairy dan Rosman difahamkan telah memberi keterangan kepada pihak polis berhubung dakwaan Raja Petra itu.

Sehingga ini, Najib dan Rosmah telah menafikan dakwaan Raja Petra itu tetapi mereka tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap blogger tersebut.

Menurut Najib, dakwaan Raja Petra bahawa isterinya terbabit dalam kes tersebut adalah satu pembohongan dan rekaan semata-mata.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.