Tiga pemimpin utama parti Melayu bertanggungjawab terhadap kelemahan dan perpecahan di kalangan kaum itu, dakwa penyelaras Barisan Bertindak Melayu (BBM) Datuk Ibrahim Ali hari ini.

"Semua pemimpin bertanggungjawab menghancurkan bangsa kita," katanya, sambil menyebut nama Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, Presiden PAS Datuk Fadzil Noor dan Presiden Parti Keadilan Nasional Dr Wan Azizah Wan Ismail. Turut disebut Menteri Besar Terengganu dan juga Timbalan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Ibrahim mendakwa tokoh-tokoh ini membiarkan bangsa Melayu berpecah dalam krisis politik sekarang.

"Kalau nak berpolitik, berpolitiklah. Tetapi jangan sampai orang lain (kaum bukan Melayu) menconteng arang ke muka kita," katanya. "Orang Melayu sudah berada di hujung tanduk. Jangan sampai keris terhunus."

Bekas timbalan menteri (foto) itu juga berkata tuntutan jawatankuasa rayuan pilihanraya Suqiu masih wujud walau Pemuda Umno mendakwa perkara itu telah selesai.

"83 tuntutan (Suqiu) ini jangan dibangkitkan lagi," katanya, sambil mengaku kebaikan beberapa tuntutan itu.

Beliau juga mengkritik pemimpin-pemimpin kerajaan dengan berkata, "kali ini jika kamu (pemimpin kerajaan) buat silap lagi, orang Melayu akan bangkit."

Sebelum itu beberapa pemimpin turut menggesa peserta perhimpunan 'Takkan Melayu Hilang di Dunia' anjuran BBM agar berani menegur pemimpin kerajaan yang melakukan kesilapan. Kira-kira 3,000 orang menyertai perhimpunan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur mulai 2.30 petang tadi.

Bekas anggota Dewan Rakyat itu turut mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas bagi menyediakan memorandum kepada kerajaan berhubung isu kepentingan Melayu yang diketuai oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Ghafar Baba.

Jawatankuasa itu dianggotai oleh Tan Sri Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Ghazali Shafie, Datuk Harun Idris, Tan Sri Sanusi Junid, Tan Ahmad Sarji Abdul Hamid, Profesor Diraja Ungku Aziz, Tan Sri Arshad Ayub dan Tan Sri Awang Had Salleh.

Anggota lain termasuklah Tan Sri Zaki Tun Azmi, Tan Sri Dr Nordin Sopiee, Datuk Suhaimi Kamaruddin, Prof Datuk Dr Mahmud Zudi, Datuk Nakhaie Ahmad, Tan Sri Ainuddin Wahid, Tan Sri Harun Hashim, Profesor Datuk Dr Ramlah Adam, Datuk Maznah Jalil, Datuk Nordin Salleh, Khatijah Ahmad dan Datuk Hassan Ahmad.

Selain Ghafar, tokoh utama Umno yang turut hadir dan menyampaikan ucapan dalam acara ini termasuklah Timbalan Menteri Penerangan Datuk Mohd Khalid Yunus.

Selepas ucapan Ibrahim, para peserta melafazkan ikrar dan sumpah setia 'Tak Melayu Hilang di Dunia.'

(Teks penuh di bawah)

Sumpah setia 'Tak Melayu Hilang di Dunia'

Kami umat Melayu beragama Islam berjanji mulai saat ini tidak akan berhasad dengki, khianat dan iri hati, bertelagah dan berbalah sesama sendiri kerana perbezaan fahaman politik, mazhab dan perguruan.

Kami berjanji akan menegakkan syiar Islam sebagai addin. Kami juga berjanji akan bekerja dengan kuat dan gigih untuk menyara diri dan keluarga kami.

Kami akan meneruskan perjuangan membangunkan agama, membela bangsa dan mempertahankan kedaulatan negara.

Kami sedia bersaing sesama bangsa kami dan bangsa-bangsa lain secara jujur dan terhormat menurut hukum dan nilai-nilai agama dan batas-batas yang dituntut oleh undang-undang negara.

Kami umat Melayu berikrar dan bersumpah setia pada 10 Zulkaedah 1421 Hijrah bersamaan 4 Februari 2001 untuk:

- mempertahankan dan membela maruah, kepentingan dan martabat bangsa Melayu dan agama Islam

- memperjuangkan kepentingan ekonomi bangsa Melayu dalam semua bidang sehingga seimbang dengan kaum-kaum lain

- menyedarkan org Melayu beragama Islam agar meneruskan perjuangan yang belum selesai berdasarkan prinsip kebenaran, lurus dan jalan yang diredai Allah SWT

- melindungi dan memperjuangkan kepentingan rakyat terbanyak

- melindungi dan mempertahankan maruah dan kepentingan negara daripada ancaman dari luar