BERITA

Nelayan Pengerang protes hasrat S'pura

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan
Dikemaskini 23 Jul 2008, 9:39 pagi

Persatuan Nelayan Kawasan Pengerang tidak bersetuju dengan tindakan Singapura untuk menuntut kawasan perairan wilayah dan Zon Ekonomi Ekslusif (EEZ) di sekitar Batu Puteh.

Pengerusinya Abu Bakar Mohamad menyifatkan hasrat republik itu sebagai langkah terdesak, seolah-olah mahu meluaskan kawasan sempadannya dan nelayan di Pengerang yang akan menerima kesannya.

pulau batu putih pulau batu puteh 230508 "Jika dilihat, perairan (di situ) lebih kepada kita. Kalau terpesong sedikit, mereka (Singapura) akan masuk perairan kita.

"Kalau ia (Singapura) tuntut, ia tidak bimbang masuk perairan Malaysia," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Menurutnya, terdapat kira-kira 2,000 nelayan yang berdaftar di bawah persatuan nelayan kawasan tersebut.

Tuntutan tersebut, kata Abu Bakar, dilihat sebagai usaha untuk memonopoli kawasan itu dan berat sebelah.

"Terumbu Karang Tengah dan Terumbu Karang Selatan, cukup strategik kerana sumber perikanan banyak di kawasan itu," tambah Abu Bakar.

'Perlu berbincang'

Semalam, menteri kanan negara itu, Balaji Sadasivan berkata, Singapura mempunyai kawasan perairan wilayah sehingga 12 batu nautika dan EEZ yang konsisten dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) pada 10 Disember 1982, di mana Singapura adalah sebuah pihak berkenaan.

Menurut Abu Bakar, beliau beranggapan sebarang cadangan Singapura adalah untuk membolehkan mereka menguasai perairan Batu Puteh.

"Singapura tidak boleh berbuat begitu. Singapura kena berbincang dengan kerajaan Malaysia terlebih dahulu. Singapura tidak boleh bertindak sendirian," katanya.

Bagaimanapun beliau menyerahkan hal ini kepada kebijaksanaan Malaysia untuk berunding dengan Singapura berhubung tuntutan mereka.

"Kami akur apa sahaja keputusan yang dicapai dalam rundingan (Malaysia) dengan kerajaan Singapura," katanya.

Beliau juga mencadangkan agar Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) campur tangan dalam soal tuntutan Singapura ini.

Mei lalu, ICJ memutuskan bahawa kedaulatan Pulau Batu Puteh menjadi milik Singapura, manakala Terumbu Karang Tengah milik Malaysia.

Mahkamah itu juga menetapkan bahawa Terumbu Karang Selatan pula tertakluk kepada wilayah perairan di mana ia berada.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan