Azmin kesal penafian Muhammad Taib
Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang Mohamed Azmin Ali hari ini mempertahankan kenyataannya bahawa Naib Presiden Umno Tan Sri Muhammad Mohd Taib pernah bertemu dan berbincang dengannya di Mekah Disember lalu.
"Saya tidak hairan apabila beliau terpaksa membuat penafian mengenai isu perbincangan dengan saya kerana 'budaya tekanan' dalam Umno terlalu kuat dan menyeluruh," kata Azmin dalam satu kenyataan kepada malaysiakini .
Walaupun melahirkan rasa kesal terhadap penafian itu, bekas setiausaha sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menjelaskan beliau "amat memahami" masalah yang dihadapi Muhammad apabila mengeluarkan kenyataan negatif terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.
Sabtu lalu, Muhammad menafikan pernah memburuk-burukkan Dr Mahathir di depan Kaabah apabila berjumpa Azmin ketika mengerjakan ibadah umrah.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Azmin (itu)," kata Muhammad, seperti dilaporkan oleh agensi berita Bernama , sambil menyifatkan dakwaan pemimpin Parti Keadilan Nasional itu bertujuan memecah-belahkan Umno.
Azmin berkata Muhammad sendiri dalam laporan akhbar itu turut mengesahkan perjumpaan antara mereka berdua.
"Beliau sendiri terus memberikan penjelasan terperinci bahawa pertemuan dengan saya berlaku dua kali dalam tempoh berkenaan," katanya lagi.
Dalam laporan itu, Muhammad memberitahu beliau bertemu Azmin semasa turun dari kapal terbang di Madinah dan ketika majlis berbuka puasa di sana yang turut dihadiri oleh Ketua Penerangan Umno Datuk Mustapa Mohamed.
Beliau juga dilaporkan bercadang meminta peguamnya meneliti perkara itu sama ada perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin pembangkang itu.
Ketika dihubungi hari ini, Azmin berkata dalam satu ceramah politik di Markaz PAS Taman Melewar, beliau hanya mendedahkan bahawa seorang Naib Presiden Umno dan dua orang pemimpin tertinggi Pemuda parti itu bertemunya di Tanah Suci.
"Saya tidak menyebut nama beliau. Mungkin beliau terasa, lalu mengeluarkan kenyataan (penafian) tersebut," jelas Azmin.
Menurut Bernama, Muhammad mendapat maklumat mengenai kenyataan Azmin itu melalui satu keratan akhbar yang diberikan oleh seorang kenalannya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.