Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim mengambil tindakan saman RM30 juta terhadap seorang penulis politik Ahmad Lutfi Othman berhubung artikel yang didakwa memburukkannya sebagai ketua negeri.

Turut dikenakan tindakan yang sama ialah penerbit tabloid Adil , Penerbitan Pemuda di Gombak dan syarikat percetakan Angkatan Edaran Enterprise di Shah Alam, Selangor.

Berita ringkas dalam tabloid itu antara lain menyebutkan Shahidan dikatakan mengeluarkan arahan menyekat pemberian biasiswa Baitulmal Perlis kepada pelajar negeri itu di luar negara.

Shahidan melalui peguamnya menfailkan writ saman itu di Mahkamah Tinggi Kangar pada 4 Januari lalu selepas mengeluarkan notis tuntutan daripada ketiga-tiga defendan itu 15 Ogos tahun lalu.

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu mendakwa artikel bertajuk 'MB Perlis arah sekat biasiswa Baitulmal' menyebabkan beliau "diseret ke dalam kancah skandal awam, cemuhan dan kebencian masyarakat dan telah meletakkan plaintif (Shahidan) di dalam kehinaan serta keaiban yang mengikut perwatakan serta kewibawaan sebagai pemimpin Umno dan negeri Perlis yang mempunyai penghormatan tinggi."

Lutfi ketika dihubungi tengahari tadi menjelaskan beliau melalui peguamnya, Hanipa Maidin akan membuat pembelaan terhadap kes itu.

Menurut writ saman itu, Shahidan berkata Lutfi menyedari notis tuntutan yang dihantar kepadanya seperti dilaporkan dalam akhbar Harakah pada 16 Oktober tahun lalu. Bagaimanapun, semua defendan itu enggan mematuhi tuntutan tersebut, tambah pemimpin Umno itu lagi.

Shahidan juga menuntut ganti rugi guaman sebanyak RM100,000, kos guaman dan perintah-perintah lain yang diputuskan oleh mahkamah.