Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dua sarjana dalam bidang pemikiran dan sejarah Islam dari Amerika Syarikat mengecam tindakan polis menahan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menyifatkannya sebagai "bermotifkan politik".

John L Esposito dan John O Voll berkata tangkapan terhadap Anwar berhubung siasatan kes liwat bulan lalu itu dibuat setelah PKR menang besar dalam pilihanraya umum Mac lalu dan tidak sampai 24 jam setelah beliau mengumumkan hasratnya untuk bertanding dalam satu pilihanraya kecil.

Sarjana di Georgetown University menambah, kes terbaru ini "ulang tayang" peristiwa 1998 sewaktu Anwar dipenjarakan selama enam tahun yang telah mencemarkan kewibawaan kerajaan Malaysia, pasukan polis dan sistem kehakiman di mata masyarakat dunia.

"Kempen memburuk-burukkan (Anwar) boleh menggugat nama baik perdana menteri dan memburukkan politik pilihanraya, kedaulatan undang-undang dan demokrasi," kata dua sarjana itu dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini .

Tambah mereka lagi, Anwar selama ini mempunyai rekod cemerlang sebagai seorang ahli politik dan intelektual awam yang popular serta berkesan.

"Sumbangan, pencapaian dan integriti beliau telah diiktiraf di Malaysia, dunia Islam dan masyarakat antarabangsa," kata Esposito dan Voll.

Sementara itu, Esposito dijadual tiba ke Kuala Lumpur untuk menyampaikan satu syarahan bertajuk 'Masa Depan Islam: reformasi atau membeku?'

Pengasas pusat persefahaman Muslim-Kristian di kampus itu akan membentangkan analisisnya pada petang 9 Ogos di Hotel Crown Princess.

Pengarang lebih 35 buku itu, termasuk yang diharamkan di Malaysia, hadir atas undangan Sisters-in-Islam (SIS).

Buku terbarunya Who Speaks for Islam? What a billion Muslims really think , manakala What Everyone Needs to Know About Islam dilarang oleh Kementerian Dalam Negeri pada 2006.

ADS