Pembelaan semua kaum tetap agenda PAS
PAS hari ini mengulangi pendirian untuk memperjuangkan hak semua kaum walau bersetuju mengadakan perbincangan dengan Umno, pada asalnya, berhubung isu perpaduan Melayu.
"PAS amat menekankan perbincangan tersebut bukan atas dasar perkauman tetapi atas dasar isu-isu nasional yang melibatkan seluruh kepentingan rakyat negara ini," kata Setiausaha Agung PAS Nasharudin Mat Isa dalam satu kenyataan kepada malaysiakini .
Sebelum ini parti itu melantik tiga anggota jawatankuasa teknikal untuk mengadakan perbincangan bagi menetapkan tarikh, tempat, waktu, agenda dan format pertemuan antara pemimpin tertinggi PAS dengan Umno.
Jawatankuasa yang diketuai oleh Nasharudin itu dianggotai oleh setiausaha politik kepada Ketua Pembangkang Dr Mohd Hatta Mohd Ramli, pengarah urusan Harakah Datuk Hishamuddin Yahya dan Dr Abdul Wahab Ismail.
Setiausaha akhbar Menteri Penerangan, Zukri Valentino ketika dihubungi hari ini mengesahkan perjumpaan jawatankuasa teknikal dua parti itu akan diadakan di suatu tempat di Kuala Lumpur pada Khamis ini. Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan tempat tersebut.
"Tan Sri (Khalil Yaakob) ada mencadangkan tempat dan format yang sesuai bagi mengadakan pertemuan itu," jelas Zukri, sambil menambah maklumat tentang tempat pertemuan tersebut telah dikemukakan kepada PAS melalui perbualan telefon Khalil, sebagai Setiausaha Agung Umno, dengan rakan sejawatnya.
Umno dijangka mengumumkan tiga anggota jawatankuasa teknikal parti itu petang ini.
Ketika dihubungi petang ini, Nasharudin berharap agar Umno bersifat ikhlas terhadap cadangan pertemuan itu.
"Pihak media (juga) diharapkan tidak terus-menerus mengelirukan rakyat," katanya, merujuk beberapa laporan media arus perdana yang membayangkan parti Islam itu berminat menyertai Barisan Nasional.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.