Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan menyifatkan Islam liberal sebagai satu ajaran yang bahaya, sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenarnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zahid Hamidi.

zahid hamidi 02 Islam liberal, katanya, dapat dikenali melalui akidah dan syariatnya, antaranya ialah, sekularisasi dan sekularisme.

"Bagi mereka, sekularisasi bukan penerapan sekularisme, tetapi ia satu proses Islami yang termeteri dalam kalimah syahadah!

"Ini cukup mengelirukan. Sekurlarisme yang dipegang kuat oleh golongan ini, selama-lamanya tidak diterima dalam Islam. Ianya sangat bahaya dan harus diwaspadainya," kata Zahid lagi.

Ucapannya dibaca oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Haji Sumali Amat, ketika merasmikan seminar pemikiran Islam peringkat kebangsaan 2008 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di Bangi hari ini.

Seminar yang bertemakan 'Menangani Pemikiran Islam Liberal di Malaysia', dianjurkan oleh Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Yayasan Dakyah Islam Malaysia (Yadim). Sebanyak 16 kertas kerja dibentang dalam seminar dua hari itu.

Seminar tersebut bermula dengan ucaptama oleh Yang Dipertua PUM, Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir bertajuk 'Kemelut Islam Liberal', diikuti dengan pembentangan dua kertas kerja. Majlis perasmian berlangsung jam 12 tengahari.

Mesti diawasi

Menurut Zahid lagi, Islam liberal juga boleh dikenali melalui pluralisme agama.

"Bagi mereka, semua agama sama - semua agama mengajar tentang kebaikan dan membawa kepada tuhan yang sama, dengan cara yang berbeza...

"Kita mengakui kewujudan pelbagai agama dalam negara, tetapi tidak sampai mengakui kebenaran semua agama. Pemikiran ini menafikan kebenaran agama Islam. Ia juga seharusnya bercanggah dengan fundamentalisme semua agama di Malaysia, seperti Kristian, Hindu, Buddha dan Sikh," katanya.

"Kalau kepercayaan ini diterima, sia-sialah solat, puasa, zakat dan haji, kerana amalan ini tidak wajib dalam agama lain dan kita boleh syurga! Ini satu bentuk penyelewangan yang mesti diawasi," tegasnya.

Zahid berkata, selain sekularisme dan pluralisme, ada tiga lagi ciri-ciri akidah dan syarikat mereka, iaitu al-Quran edisi liberal, hermeneutika dan feminisme.

Beliau menjelaskan, bagi golongan tersebut, al-Quran yang ada pada hari ini, memerlukan pengeditan semula secara kritikal, antara alasannya ialah sejarah pembukuan al-Quran oleh Saidina Othman dan kepelbagaian qiraah (bacaan) yang memeningkan.

"Ketahuilah, sesungguhnya al-Quran semuanya sama, baik di Malaysia, Indonesia, Arab Saudi, Iraq, Afrika, China, mahupun Eropah, tidak timbul ada dua tiga versi al-Quran yang berbeza sepanjang sejarah penulisan al-Quran.

Dipersetujui secara ijmak

"Yang berbeza hanyalah qiraah (bacaan) dan Rosam (tulisan). Teksnya, iaitu surah dan ayat tetap sama, tidak berbeza.

"Mushaf Uthmani ialah yang terbaik. Walaupun yang lain tidak dibenarkan untuk sebaran am, kita tidak perlu menafikan imla-i, baghdadi, fatimi atau alifi.

"Yang terdapat dalam dunia Islam hari ini juga merupakan al-Quran. Ini dipersetujui secara ijmak oleh semua mazhab Islam," katanya.

Mengenai hermeneutika pula, kata Zahid, menurut mereka, orientasi tafsir al-Quran juga perlu diubah untuk mencari nilai kebenaran al-Quran itu sendiri, seperti yang dilakukan dalam agama Kristian terhadap Bible.

"Kita perlu ingat, cendiakawan Kristian sendiri percaya terdapat percampuran antara kalam tuhan dengan kalam manusia. Semua cendiakawan Kristian sepakat bahawa daripada 240,000 manuskrip Bible, tiada dua pun yang menyamai. Ini tidak berlaku kepada al-Quran.

"Ya, kita boleh ada tafsir dari pelbagai sudut tetapi tafsir dalam Islam bukan untuk menguji nilai kebenaran al-Quran, kerana al-Quran itu keseluruhannya ialah Kalamullah," tegasnya.

Zahid berkata, mengenai feminisme pula, bagi golongan tersebut, semua lelaki dan wanita dilayan secara sama dalam semua hukum syarak.

Golongan orientalis

"Contohnya, poligami mesti diharamkan. Ini menunjukkan secara terang, mereka terlalu liberal hingga nas (teks) juga ingin diliberalkan," tegasnya.

Zahid berkata, satu lagi gerakan Islam liberal yang tidak sangat bersendikan pemikiran, namun amat berpengaruh, khususnya di kalangan anak muda, adalah mereka yang digelarnya sebagai kelompok hedonis.

"Semuanya mesti dilibur. Hukum Islam pantas ditidak-apakan, minum arak secara terbuka, pergaulan bebas - adalah juga bentuk penterjemahan Islam yang kononnya moderat tetapi rupanya mudarat," tambahnya.

Menurutnya, Islam liberal mula digunakan oleh penulis barat seperti Leonard Binder dan Charles Kurzman.

Katanya, golongan orientalis ini mempersoalkan jika Islam itu satu, mengapa umat Islam berpecah kepada pelbagai mazhab.

"Lalu mereka percaya Islam banyak versi. Islam liberal adalah salah satu cabangnya," jelas Zahid.

ADS