RCI Tabung Haji: Bekas pengurus projek pembinaan didakwa pecah amanah
Seorang bekas pengurus projek mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas pertuduhan pecah amanah melibatkan wang sebanyak RM14,000 terkait sebuah bangunan komersial milik Lembaga Tabung Haji pada Nov 2017 dan Ogos 2018.
Mohamad Hashim Mukhatap, 53, didakwa sebagai pengurus pembinaan syarikat THP Timur Sdn Bhd telah menyalahgunakan wang berkenaan.
Wang itu merupakan hasil kutipan penalti ke atas sebuah syarikat kontraktor, Kelpile Sdn Bhd, dengan memasukkannya ke akaun bank milik sendiri.
Ia membabitkan projek cadangan membina dan menyiapkan sebuah bangunan komersial 22 tingkat yang mengandungi pangsapuri perkhidmatan (244 unit), penthouse (empat unit), kemudahan awam, ruang perniagaan, tempat letak kereta, sub-basement (satu tingkat) dan kemudahan yang berkaitan di atas Lot 273, Seksyen 12, Kota Bharu.
Mohamad Hashim didakwa melakukan kesalahan itu di Sofea Residensi, Lot 10015, Seksyen 12 Kota Bharu antara 15 Nov 2017 dan 8 Ogos 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pegawai pendakwa dari SPRM, Mariah Omar, menawarkan jaminan RM15,000 namun peguam tertuduh, Fahmi Abd Moin Khairuddin, memohon agar anak guamnya diberikan jaminan RM5,000.
Hakim Dazuki Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, selain memerintahkan dia menyerahkan pasport, tidak mengganggu saksi serta melapor diri di pejabat SPRM Shah Alam setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 19 Okt depan untuk sebutan semula kes.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/09/36380b1b4e7debb222d994b740a953a4.jpg)
