Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dilepas dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan RM200 juta yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

Hakim Mahkamah Tinggi Noor Ruwena Nurdin dilaporkan memerintahkan pembebasan penuh Muhyiddin hari ini selepas Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memohon agar bekas perdana menteri itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).

“Sehubungan itu, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh daripada keempat-empat pertuduhan,” katanya seperti dipetik New Straits Times.

Muhyiddin, 79, didakwa menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri dan presiden Bersatu antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021 untuk mendapatkan RM200 juta sebagai suapan bagi parti itu daripada Bukhary Equity Sdn Bhd berkaitan program Jana Wibawa.

Bekas perdana menteri itu masih berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM25.3 juta sebagai suapan bagi parti itu daripada tiga syarikat iaitu Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd, berkaitan Jana Wibawa.

Sementara itu Muhyiddin ketika ditemui pemberita berharap baki pertuduhan terhadapnya turut digugurkan.

Bercakap di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bekas perdana menteri itu berkata dia sejak awal bertegas tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dan berasa lega. Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Saya berharap pertuduhan lain juga akan digugurkan,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.

Muhyiddin pertama kali didakwa pada 10 Mac 2023 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram.

Dia kemudian berdepan pertuduhan ketujuh, iaitu satu lagi pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM5 juta daripada Bukhary Equity, di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac 2023.

Muhyiddin dibicarakan bagi kesemua tujuh pertuduhan itu di hadapan Noor Ruwena bermula 9 Mac lalu.

Perbicaraan itu susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada Februari 2024 untuk mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa yang telah diketepikan oleh Mahkamah Tinggi pada Ogos 2023.