PAS bimbang Zakir Naik jadi korban politik di sebalik rundingan Anwar - Modi
PAS menyatakan kebimbangan serius terhadap kemungkinan Zakir Naik menjadi korban politik susulan laporan mengenai perbincangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi, berhubung isu ekstradisi pendakwah kontroversi tersebut.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata perkara itu dikhuatiri berlaku dalam usaha Malaysia membuktikan persahabatan atau mendapatkan kepercayaan India.
"Kes ini bukanlah semata-mata mengenai hubungan antara Malaysia dan India, sebaliknya ia juga adalah ujian sama ada Malaysia akan mempertahankan prinsip dan ketetapan undang-undang sendiri ketika berhadapan dengan tekanan atau laba diplomatik.
"Hubungan baik dengan mana-mana negara adalah penting, namun kedaulatan negara dan integriti sistem keadilannya lebih penting dan mesti dipertahankan. Satu tidak boleh dikorbankan untuk kepentingan yang lain," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Takiyuddin menggesa kerajaan menjelaskan status perundangan dan diplomatik permohonan ekstradisi terhadap pendakwah itu yang dibincangkan dalam pertemuan terbaru kedua-dua pemimpin berkenaan.
PAS juga meminta Putrajaya menjelaskan maksud dan isu sebenar yang dibincangkan serta persefahaman yang dicapai dalam pertemuan itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/09/4bacd777cad3028fd6500daedae3d709.jpg)
Takiyuddin berkata perkara paling penting ialah kenyataan Anwar bahawa isu berkenaan merupakan sebahagian daripada agenda keutamaan bagi membina kepercayaan dan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan India.
"Namun pada masa sama isu tersebut perlu ditangani dengan berhati-hati, sekali gus menghormati undang- undang.
"Penjelasan juga perlu diberikan sama ada keterangan dan dokumentasi bagi menyokong permohonan pihak India kepada Malaysia telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh undang-undang Malaysia untuk ekstradisi.
"PAS juga menuntut kerajaan menjelaskan apakah Malaysia membuat apa-apa komitmen politik, sama ada eksplisit atau sebaliknya, berkait ekstradisi pendakwah antarabangsa terkenal yang kini merupakan pemastautin tetap di negara ini sejak 2012 dan disahkan secara rasmi oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu pada April 2017," katanya.
Terdahulu, isu ekstradisi Zakir, yang dikehendaki di negara asalnya, India, berhubung dakwaan pengubahan wang haram dan ucapan berunsur kebencian, dilaporkan antara perkara yang dibincangkan dalam rundingan antara Anwar dan wakil negara itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/09/f11716ab8f1d606d40f1279267c7c256.jpg)
Menurut laman berita India New Delhi Television (NDTV), Anwar mengesahkan bahawa perbincangan mengenai perkara itu diadakan secara “tertutup”, yang dipercayai berlangsung di New Delhi.
“Kami fikir perkara ini perlu dirahsiakan untuk melindungi kepentingan kedua-dua negara. Tetapi, sudah tentu, kami meletakkannya dalam senarai keutamaan bagi membina kepercayaan dan hubungan antara kedua-dua negara,” katanya seperti dipetik dalam laporan bertarikh 12 Sept.
Anwar berkata sebarang tindakan berhubung permintaan ekstradisi India perlu dilakukan “dengan amat berhati-hati” dengan mengambil kira prinsip kedaulatan undang-undang serta kepentingan hubungan dua hala.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/02/a94b1a3b28a4ebfab556746a19b60de6.jpg)
