Gobind gesa AG jelaskan permohonan pendakwaan beri DNAA pada Muhyiddin
DAP menggesa Peguam Negara, Dusuki Mokthar memberikan penjelasan terperinci mengenai keputusan menghentikan pendakwaan terhadap Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dalam kes Jana Wibawa.
Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo berkata demikian selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan (DAA) Muhyiddin daripada empat daripada tujuh pertuduhan selepas pihak pendakwaan memohon agar dia dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).
Gobind yang juga Menteri Digital menegaskan bahawa apabila pertuduhan jenayah dikenakan terhadap mana-mana individu, “jangkaan lazim” adalah pihak pendakwaan telah menilai bukti secara menyeluruh dan mempunyai asas kukuh untuk meneruskan kes.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai berhak mengetahui faktor atau pertimbangan undang-undang yang menyebabkan proses itu dihentikan pada peringkat ini.
“Dalam kes yang melibatkan kepentingan awam yang besar seperti ini, ketelusan amat penting.
“Keyakinan terhadap Peguam Negara dan integriti sistem keadilan jenayah akan terhakis jika kes berprofil tinggi dihentikan di pertengahan jalan tanpa alasan yang jelas dan penjelasan penuh kepada orang ramai,” kata Ahli Parlimen Damansara itu.
Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri hari ini dilepas dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan RM200 juta yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.
Hakim Mahkamah Tinggi Noor Ruwena Nurdin memerintahkan pembebasan penuh Muhyiddin hari ini selepas Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memohon agar bekas perdana menteri itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).
Akram dilaporkan memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan empat pertuduhan berkenaan mengikut Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah, manakala Seksyen 254(3) membenarkan mahkamah mengarahkan pembebasan.
Muhyiddin, 79, didakwa menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri dan presiden Bersatu antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021 untuk mendapatkan RM200 juta sebagai suapan bagi parti itu daripada Bukhary Equity Sdn Bhd berkaitan program Jana Wibawa.
Ahli Parlimen Pagoh itu masih berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM25.3 juta sebagai suapan bagi parti itu daripada tiga syarikat iaitu Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd, berkaitan Jana Wibawa.
Jana Wibawa merupakan inisiatif rangsangan ekonomi ketika pandemik Covid-19 bagi membantu kontraktor bumiputera.
Muhyiddin pertama kali didakwa pada 10 Mac 2023 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram.
Dia kemudian berdepan pertuduhan ketujuh, iaitu satu lagi pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM5 juta daripada Bukhary Equity, di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac 2023.
Muhyiddin dibicarakan bagi kesemua tujuh pertuduhan itu di hadapan Noor Ruwena bermula 9 Mac lalu.
Perbicaraan itu susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada Februari 2024 untuk mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa yang telah diketepikan oleh Mahkamah Tinggi pada Ogos 2023.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/6d902703bda4108223faca245f9d58f7.jpg)
