Jabatan Peguam Negara (AGC) berkata ia memutuskan untuk menghentikan pendakwaan terhadap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dalam kes Bukhary Equity Sdn Bhd bagi melindungi tiga lagi pertuduhan yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

Penjelasan itu dibuat selepas AGC mencetuskan kegemparan apabila memohon melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Muhyiddin dalam kes Bukhary Equity, yang didakwa menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri untuk memperoleh suapan berjumlah RM200 juta.

Permohonan DNAA itu kemudian menyebabkan mahkamah memberikan pembebasan penuh terhadap empat pertuduhan terbabit.

AGC menjelaskan tindakan meneruskan pendakwaan dalam kes Bukhary Equity membawa risiko litigasi yang nyata.

“(Ini) termasuk risiko menjejaskan strategi serta pembuktian pertuduhan-pertuduhan lain yang masih dihadapi oleh tertuduh.

“Dalam keadaan tersebut, pihak pendakwaan perlu melihat kepentingan keseluruhan kes dan bukannya mempertahankan satu pertuduhan secara terasing,” katanya pada satu kenyataan malam tadi.

AGC menegaskan tugas pendakwa raya bukan untuk mempertahankan sesuatu pertuduhan pada apa jua keadaan, sebaliknya memastikan hanya pertuduhan yang mempunyai asas keterangan mencukupi dan boleh dipertahankan di mahkamah diteruskan.

Bagaimanapun, AGC menafikan keputusan itu bermaksud empat pertuduhan berkenaan dibuat tanpa asas atau transaksi yang dipersoalkan tidak berlaku.

AGC tidak menjelaskan perubahan yang berlaku dalam kes Bukhary Equity atau bagaimana perkara itu boleh menjejaskan tiga lagi pertuduhan terhadap Muhyiddin berkaitan projek Jana Wibawa.

Bagaimanapun, keputusan untuk memohon DNAA dibuat sehari selepas pihak pembelaan mengemukakan pernyataan saksi bekas timbalan ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad ketika perbicaraan pada Isnin.

Laporan media mengenai perbicaraan pada Isnin tidak mengetengahkan sebarang isu berkaitan Adam Radlan pada hari berkenaan.

Sebaliknya, pihak pembelaan dilihat hanya mempersoalkan mengapa Adam Radlan didakwa sedangkan seorang lagi ahli perniagaan, Azman Yusoff tidak didakwa walaupun kedua-duanya disiasat dalam kes sama.

Seorang pegawai SPRM kemudian membuat laporan polis terhadap pihak pembelaan atas dakwaan memperoleh dokumen yang bocor.

Pihak pembelaan menafikan dakwaan itu di mahkamah semalam, sebelum pegawai berkenaan memohon maaf dan menarik balik laporan tersebut.

Tidak jelas sama ada perkara itu mempunyai kaitan dengan keputusan pihak pendakwaan atau tidak.

Adam Radlan merupakan saksi pendakwaan dalam baki kes Jana Wibawa yang dihadapi Muhyiddin. Dalam kes itu, bekas perdana menteri berkenaan didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM25.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat — Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd — berkaitan Jana Wibawa, suatu inisiatif rangsangan Covid-19 bagi membantu kontraktor Bumiputera.

Adam Radlan sendiri sebelum ini didakwa atas 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan projek Jana Wibawa.

Bagaimanapun, kes itu digugurkan tahun lalu selepas dia membayar kompaun berjumlah RM4.1 juta.