Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata sebarang pandangan yang disuarakannya berhubung Najib Razak ketika mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Jumaat lalu dibuat dengan mengambil kira kepentingan negara.

Kenyataan itu menyusuli penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said bahawa sebarang pertanyaan mengenai penangguhan permohonan pengampunan Najib perlu dirujuk kepada Yeoh.

Yeoh berkata pandangannya turut mengambil kira pendapat bertulis Peguam Negara Dusuki Mokhtar berhubung perkara itu.

“Saya menyatakan pandangan dengan jujur dan berterus terang, berlandaskan hati nurani saya demi kepentingan negara.

hannah yeoh 20260916.

“Tentunya, selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Negara, kuasa dan keputusan muktamad terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong termasuk untuk menangguhkan apa-apa keputusan mengenai pengampunan Najib,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, dia tidak mendedahkan pandangan sebenar yang disampaikannya kepada Agong dan lembaga berkenaan.

Permohonan pengampunan Najib sepatutnya didengar Jumaat lalu. Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan supaya pendengaran permohonan bekas perdana menteri itu ditangguhkan.

Belum jelas bila permohonan Najib akan didengar semula memandangkan lembaga berkenaan tidak mempunyai jadual persidangan tetap.

Najib, 72, dipenjarakan sejak Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah menyelewengkan RM42 juta milik SRC International. Dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Pada 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan tempoh pemenjaraannya kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta.

Tempoh pemenjaraan yang disemak semula itu dijadualkan berakhir pada Ogos 2028. Dengan pengurangan satu pertiga hukuman kerana berkelakuan baik, dia mungkin dibebaskan seawal bulan lalu.

Bagaimanapun, pada Disember tahun lalu, dia disabitkan bersalah atas kesalahan rasuah buat kali kedua dan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun serta denda RM11.38 bilion.