Undang Rembau ke-22, Hassan Ab Hamid, menyangkal kenyataan barisan Exco Negeri Sembilan berhubung penurunan jawatan Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Hassan berkata pertikaian berhubung surat proklamasi bertarikh 19 April yang menyingkirkan Tuanku Muhriz hendaklah ditangani berlandaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), dan tidak boleh ditentukan semata-mata melalui keputusan pentadbiran atau kenyataan media.

"Persoalan pokok bukan semata-mata sama ada Undang Yang Empat mempunyai kuasa berkaitan pemilihan atau penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar.

"Persoalan yang lebih asas ialah sama ada kuasa tersebut telah dilaksanakan dengan mematuhi sepenuhnya segala syarat dan proses yang ditetapkan oleh UUTKNS.

"Kewujudan sesuatu kuasa tidak bermakna tatacara pelaksanaannya boleh diketepikan," katanya dalam kenyataan.

Untuk rekod, Hassan dizahirkan sebagai Dato' Sedia Raja Undang Luak Rembau ke-22 pada 27 Jun lalu di hadapan Tuanku Muhriz di Istana Besar Seri Menanti.

Bagaimanapun, pelantikannya sendiri dipertikai oleh Dato-Dato Lembaga yang menyokong Undang sebelumnya iaitu Abdul Rahim Yasin, dengan mendakwa Abdul Rahim masih merupakan Undang Rembau yang sah.

Undang Yang Empat ialah ketua adat bagi empat luak utama yang berkuasa memilih Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Menurut Hassan, antara persoalan asas ialah sama ada siasatan penuh dan lengkap sebagaimana dikehendaki telah dilaksanakan sebelum Proklamasi 19 April lalu dibuat.

"Dewan Keadilan dan Undang (DKU) telah mengambil pendirian bahawa siasatan sedemikian tidak pernah dilaksanakan, dan DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir juga tidak diberikan notis atau peluang untuk didengar.

"Kegagalan memenuhi syarat asas tersebut menimbulkan kecacatan fundamental terhadap Proklamasi berkenaan,” katanya.

Kenyataan Hassan itu dikeluarkan selepas barisan Exco Negeri Sembilan hari ini mengeluarkan kenyataan yang menegaskan bahawa proklamasi 19 April adalah sah dan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Jaafar telah diiktiraf sebagai pemerintah baru berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan dicapai dalam mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Besar Ismail Lasim semalam.

Barisan Exco terbabit berkata proklamasi itu telah ditandatangani oleh Undang Yang Empat yang sah, manakala penyingkiran Yang di-Pertuan Besar merupakan hak prerogatif mutlak Undang Yang Empat.

Mereka turut berkata tandatangan Ismail pada 3 Ogos lalu melengkapkan proklamasi itu mengikut peruntukan perlembagaan negeri. Bagaimanapun, Exco berkenaan tidak menyentuh mengenai keperluan mengadakan siasatan.

Keputusan DKU

Hassan turut merujuk keputusan DKU pada 31 Julai dan 13 September, yang menurutnya telah memutuskan bahawa proklamasi 19 April adalah tidak sah.

Antara alasan yang diberikan DKU, katanya, ialah tiga daripada empat penandatangan proklamasi itu tidak memegang jawatan Undang mengikut adat luak masing-masing.

DKU juga mengesahkan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar, katanya.

Hassan merujuk Perkara 16(3) UUTKNS yang menurutnya menetapkan bahawa nasihat DKU mengenai persoalan adat Melayu adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

"Justeru, keputusan MMK atau exco tidak boleh mengetepikan ketetapan DKU mengenai adat atau mengatasi peruntukan UUTKNS," katanya.

Dia turut mempertikaikan dakwaan exco berkenaan bahawa proklamasi itu telah ditandatangani oleh “Undang Luak yang sah dan berkuat kuasa”.

Hassan berkata dakwaan itu bercanggah secara langsung dengan dengan ketetapan DKU mengenai kedudukan adat pihak-pihak berkenaan.

Tandatangan Ismail

Dalam kenyataan panjang itu, dia turut membangkitkan persoalan mengenai tandatangan Ismail pada proklamasi berkenaan, dengan menyatakan bahawa Menteri Besar itu sebelum ini mendakwa menandatangani dokumen tersebut tanpa kerelaan dan di bawah paksaan.

Ismail juga telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

pc press conference new Negeri Sembilan MB chief minister menteri besar Ismail Bin Lasim 100826

"Oleh itu, isu berkenaan tidak boleh dianggap selesai semata-mata dengan menyatakan bahawa tandatangan Menteri Besar telah menjadikan Proklamasi itu "sempurna"," katanya.

Dia juga berkata barisan Exco tidak boleh memulihkan proses yang cacat.

"Sekiranya syarat Perkara 10 tidak dipenuhi dari awal, suatu keputusan yang dibuat kemudian tidak dengan sendirinya memulihkan kecacatan tersebut," katanya.

Perlembagaan Persekutuan

Hassan turut berkata Perkara 71 dan 181 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh digunakan untuk mengetepikan syarat dan proses yang telah ditetapkan secara khusus oleh UUTKNS.

Menurutnya, Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak Raja sesuatu Negeri untuk memegang, menikmati dan menjalankan hak serta keistimewaan perlembagaannya mengikut Perlembagaan Negeri tersebut.

Manakala Perkara 181 memelihara kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja serta Pembesar-Pembesar Memerintah Negeri Sembilan tertakluk kepada Perlembagaan.

"Oleh itu, Perkara 71 dan Perkara 181 tidak boleh digunakan untuk mengetepikan syarat dan proses yang telah ditetapkan secara khusus oleh UUTKNS.

Hassan turut menggesa semua pihak menghormati UUTKNS, bidang kuasa DKU serta ketetapan yang telah dibuat menurut bidang kuasanya, selain menjaga keamanan negeri dan mengelakkan tindakan yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam pentadbiran negeri atau menjejaskan martabat institusi diraja dan adat Negeri Sembilan.

Peguam Tuanku Nadzaruddin pertahan Exco

Sementara itu, peguam yang mewakili Tuanku Nadzaruddin dan Undang Yang Empat, Emirul Sarifudin Nor Azmi, mempunyai pandangan berbeza dengan Hassan.

Dalam kenyataan kepada Malaysiakini, dia menegaskan bahawa keputusan Exco itu secara rasmi menyingkirkan Tuanku Muhriz daripada jawatan berkenaan, sekali gus menjadikan Tuanku Nadzaruddin sebagai pengganti baginda.

Dia turut menyifatkan kemelut diraja di negeri itu sebagai “dianggap telah selesai”.

“Sebarang bantahan atau rasa tidak puas hati selepas ini hendaklah dibawa ke Mahkamah Khas atau mana-mana forum lain yang mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan perkara tersebut. Ia tidak menjejaskan keputusan eksekutif yang dibuat hari ini sehingga diputuskan sebaliknya.

“Langkah seterusnya melibatkan pentadbiran kerajaan negeri dan istiadat rasmi bagi pemasyhuran Yamtuan.

“Dari sudut pentadbiran, menerusi pengumuman rasmi Exco hari ini, Tuanku Nadzaruddin secara rasmi ialah Yamtuan dan boleh menjalankan kuasa baginda sebagaimana diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959),” kata Emirul kepada Malaysiakini.