Kerajaan negeri Negeri Sembilan sedang berusaha mewartakan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baharu bagi menggantikan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Besar Ismail Lasim, pagi tadi yang berkata, bahawa pentadbiran negeri memutuskan untuk menerima pemasyhuran oleh Undang Yang Empat pada 19 April lalu untuk menurunkan Tuanku Muhriz.

“Pada hari ni saya ingin mengesahkan bahawa proklamasi memang telah dibincangkan dan diputuskan oleh semua ahli-ahli exco kerajaan negeri secara sebulat suara pada mesyuarat exco 15 September lalu.

"Proses pewartaan, sudah pun exco minta SUK (setiausaha kerajaan) untuk meneruskan dengan pewartaan mengikut peraturan-peraturan yang sedia ada,” katanya ketika ditemui pemberita di Seremban, hari ini.

Proklamasi tersebut dikeluarkan pada 19 April oleh empat orang Undang: Mubarak Thahak (Sungai Ujong), Maarof Mat Rashad (Jelebu), Muhammad Abdullah (Johol), dan Abdul Rahim Yasin (Rembau); bersama-sama dengan Tunku Besar Tampin dan Datuk Syahbandar Sungai Ujong.

Proklamasi pertama untuk melucutkan kedudukan Tuanku Muhriz dibuat selepas mereka didakwa menjalankan siasatan sendiri pada 5 Mac berhubung dakwaan pelanggaran dalam tugas-tugas diraja baginda. Mereka menganggap pelanggaran itu - yang tidak diperincikan secara jelas - dilakukan secara sengaja, sekali gus mencemarkan institusi diraja.

Pengisytiharan kedua pula menetapkan supaya Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Besar yang seterusnya berkuat kuasa serta-merta.

Walau bagaimanapun, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan telah menolak proklamasi tersebut dengan mendakwa bahawa ia tidak dilakukan mengikut undang-undang dan perlembagaan negeri.

Ia juga mendakwa bahawa para pembesar tersebut tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan sedemikian memandangkan tiga daripada mereka telah pun dilucutkan jawatan.

Bagi kes Rahim, statusnya sebagai Undang Rembau dipersoalkan kerana ia didakwa belum diwartakan walaupun telah ditabalkan dua tahun sebelumnya.

Insiden pada bulan April itu mencetuskan kemelut diraja yang berpanjangan di Negeri Sembilan, yang akhirnya turut melibatkan arena politik negeri dan mencetuskan pilihan raya negeri.

Pertikaian itu juga membawa kepada pertikaian undang-undang yang masih berterusan antara para pembesar tersebut dengan DKU, di mana pemimpin-pemimpin adat itu memfailkan tindakan sivil terhadap DKU, setiausaha DKU Raja Norazli Raja Nordin, dan bekas menteri besar Aminuddin Harun, antara lain, kerana keengganan mendedahkan minit mesyuarat DKU yang diadakan pada 17 April.