Pendedahan kumulatif jangka panjang terhadap jerebu rentas sempadan serantau yang berlaku secara tahunan kini dikenal pasti sebagai bahaya kesihatan signifikan yang berupaya meningkatkan risiko penyakit kanser paru-paru di Malaysia.

Menurut Rangkaian Kanser Paru-Paru Malaysia (LCNM) zarah halus dikenali sebagai PM2.5 yang terkandung dalam jerebu merupakan faktor risiko persekitaran yang boleh menyebabkan kanser paru-paru. Ia enduduki tempat kedua selepas tabiat merokok dari segi impak global.

“Zarah bersaiz sama atau kurang daripada 2.5 mikrometer itu berupaya menembusi sistem pertahanan saluran pernafasan dan meresap jauh ke dalam paru-paru, seterusnya menyebabkan keradangan kronik serta pelbagai penyakit pernafasan.

"Peningkatan risiko menghidap kanser paru-paru ini mesti diambil serius hari ini, walaupun ia mungkin tidak kelihatan serta-merta sebaliknya hanya selepas beberapa tahun pada masa hadapan.

“Kesihatan negara dan rakyat yang tidak berdosa tidak boleh dipertaruhkan serta diletakkan di bawah ihsan ke mana arah angin bertiup," menurut kenyataan bersama itu yang dikeluarkan sempena persidangan dunia mengenai kanser paru-paru (WCLC) 2026 yang berlangsung di Seoul Korea.

Mereka yang menandatangani kenyataan LCNM itu adalah Pakar Bedah Kardiotoraks, Prof Anand Sachithanandan bersama Pakar Onkologi Klinikal, Dr Tho Lye Mun dan Pakar Perunding Perubatan Pernafasan, Dr Hilmi Lockman.

LCNM turut memaklumkan bahawa kanser paru-paru kekal sebagai punca utama kematian berkaitan kanser di Malaysia.

Penyakit itu merupakan kanser kedua paling lazim dan punca utama kematian akibat kanser dalam kalangan lelaki, manakala bagi wanita pula, ia merupakan kanser kedua yang paling banyak membunuh selepas kanser payudara.

Menurut mereka, pencemaran udara persekitaran termasuk jerebu turut dikenal pasti sebagai faktor risiko utama terutamanya bagi golongan yang tidak merokok.

Sehubungan itu, memandangkan Malaysia menganjurkan Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan Asean ke-17 baru-baru ini, pakar-pakar itu menuntut negara ini memanfaatkan peranan sebagai pengerusi Asean menangani cabaran kesihatan serantau berkenaan.

Menurut mereka, kepimpinan berterusan dan iltizam politik yang teguh amat kritikal bagi menyelesaikan masalah buatan manusia yang berulang ini secara berkesan.

Setakat petang tadi, sebanyak 30 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), bacaan tertinggi dicatatkan di Perak, iaitu Tasek, Ipoh (188), manakala tiga lagi kawasan di negeri itu turut merekodkan IPU tidak sihat, iaitu Seri Manjung (179), Pegoh, Ipoh (158) dan Taiping (155).

Di Sarawak, tiga kawasan merekodkan bacaan tidak sihat, iaitu Kuching (172), IPD Serian (172) dan Samarahan (167).

Turut berada pada tahap sama ialah di Selangor, iaitu Johan Setia (164), Shah Alam (156), Banting (154), Petaling Jaya (152) dan Klang (140), manakala satu kawasan di Kedah, iaitu Sungai Petani (155).

Di ibu negara, bacaan tidak sihat direkodkan di Cheras (155) dan Batu Muda (151), manakala di Putrajaya (158).

Di Melaka, bacaan IPU sama direkodkan di Bukit Rambai (154), Alor Gajah (153) dan Bandaraya Melaka (152), manakala di Johor melibatkan Batu Pahat (155), Segamat (152), Tangkak (148) dan Kluang (117).

Tiga kawasan di Pulau Pinang turut berada pada tahap tidak sihat, iaitu Minden (153), Seberang Jaya (152) dan Seberang Perai (151) manakala di Pahang melibatkan Jerantut (154).

Kawasan lain yang mencatat bacaan tidak sihat ialah Nilai (158) dan Seremban (155) di Negeri Sembilan, serta Kuala Terengganu, Terengganu (151).

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya).