Kerajaan memperluas perlindungan bil elektrik kepada isi rumah yang menggunakan sehingga 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan susulan aduan mengenai kenaikan mendadak bil elektrik.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata ambang yang dinaikkan daripada 600kWj itu akan terpakai bagi penggunaan elektrik dari September hingga 31 Disember.

Pengguna domestik yang layak akan dikecualikan daripada Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA), caj peruncitan serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Dalam kenyataan, Anwar berkata keadaan jerebu dan cuaca lebih panas baru-baru ini menyebabkan sesetengah isi rumah menggunakan lebih banyak elektrik sehingga melebihi 600kWj.

Keadaan itu menyebabkan mereka dikenakan AFA sekali gus mengakibatkan bil elektrik yang luar biasa tinggi.

“Langkah ini diambil sebagai tindakan segera bagi menangani tekanan hidup rakyat saat ini,” katanya.

AFA melaraskan bil setiap bulan berdasarkan harga bahan api dan kadar pertukaran mata wang asing. Surcaj bagi September ditetapkan pada 3.67 sen bagi setiap kWj memandangkan kos bahan api kekal melebihi paras asas.

Sebelum ini, dalam perutusan Hari Kebangsaan, perdana menteri berkata 85 peratus isi rumah mendapat manfaat daripada sistem AFA dan menyatakan penggunaan elektrik yang tinggi dikaitkan dengan pengguna lebih berkemampuan.

Sambil menegaskan subsidi bersasar akan diteruskan, Anwar berkata kerajaan akan memantau kos bahan api dan keadaan pasaran tenaga bagi mengimbangi kemampuan rakyat membayar bil, jaminan bekalan serta kemampanan sektor tenaga.