Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Peguam Negara Dusuki Mokhtar dilihat meninggalkan Istana Negara selepas menghadiri mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan hari ini.

Menurut New Straits Times, Yeoh dilihat meninggalkan istana kira-kira jam 9.43 pagi, tetapi tidak menjawab soalan wartawan yang menunggu di luar.

Dusuki turut dilihat meninggalkan pekarangan istana. Kedua-duanya tiba awal pagi tadi, dengan Yeoh sampai di Istana Negara pada jam 7.48 pagi, disusuli Dusuki tidak lama kemudian.

Mereka merupakan anggota Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki memuat naik hantaran ringkas tetapi penuh teka-teki di media sosial kira-kira sejam sebelum mereka meninggalkan istana.

“Alhamdulillah,” tulisnya.

Mesyuarat hari ini diadakan seminggu selepas lembaga itu menangguhkan permohonan pengampunan Najib Razak ke persidangan akan datang.

Sementara itu, petugas media turut berkumpul di luar istana seawal jam 7.30 pagi tadi untuk merakam ketibaan dan pergerakan pulang individu penting yang menghadiri mesyuarat berkenaan.

Ketika beberapa petugas media masih berada di luar istana, sebahagian yang lain berkumpul di luar pintu pagar kediaman Najib di Jalan Duta.

Beberapa wartawan lain pula berada di sekitar Penjara Kajang, tempat Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Lembaga Pengampunan pada Januari 2024 mengurangkan separuh hukuman asalnya selama 12 tahun serta mengurangkan denda RM210 juta kepada RM50 juta.

Awal pagi tadi, Yeoh turut menafikan dia menandatangani perintah tahanan rumah bagi Najib dan berkata dokumen yang tular di media sosial itu palsu.

“Tolong jangan sebarkan dokumen palsu ini.

“Setiausaha akhbar saya telah membuat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya melalui hantaran media sosial.

Terdahulu, Setiausaha Akhbar Yeoh, Ahmad Fazli Yadi turut memaklumkan menteri itu menafikan menandatangani surat berkenaan dan menyifatkannya sebagai fitnah.

Surat yang turut memaparkan “mohor diraja” itu tular susulan laporan berita bahawa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dijadualkan bersidang semula hari ini, 18 Sept, untuk mempertimbangkan permohonan Najib, hanya seminggu selepas perkara itu ditangguhkan.

Dia mula menjalani hukuman pada Ogos 2022 selepas disabitkan menyeleweng RM42 juta milik SRC International.

Perkembangan terbaru itu turut berlaku ketika Najib secara berasingan berusaha menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah.

Dia berhujah bahawa terdapat titah tambahan yang mengiringi keputusan pengampunan pada 2024, yang membolehkan aturan sedemikian dilaksanakan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya dan dia kemudian menarik balik rayuan terhadap keputusan itu.