Polis Negeri Sembilan memperketat kawalan keselamatan di semua kawasan susulan kemelut semasa bagi memastikan ketenteraman awam dan keselamatan masyarakat terus terpelihara.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata pihaknya sentiasa memberikan perhatian terhadap setiap perkembangan yang berlaku dengan mengikuti situasi dari semasa ke semasa.

"Keutamaan kita adalah ketenteraman awam dan keselamatan semua pihak. Jadi apabila berlaku perkara ini, kita sentiasa memberikan perhatian lebih dan kita perketat semua kawalan keselamatan di setiap kawasan.

"Saya mengharapkan masyarakat supaya bersabar serta mengharapkan penyelesaian berlaku mengikut lunas undang-undang dan proses yang berlandaskan setiap undang-undang yang ada di Malaysia," katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Diraja Tuanku Munawir di Kuala Pilah hari ini.

Gambar fail, Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan Yang Ke-15 pada April 2026.

Terdahulu, beliau menunaikan solat Jumaat bersama Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan lebih 500 jemaah, termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim di masjid berkenaan.

Tuanku Muhriz turut berkenan menerima memorandum taat setia dan sokongan terhadap baginda yang diserahkan oleh Ketua Sekretariat Taat Setia dan Sokong Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, Dr Mohd Aluwi Sari.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan semalam memaklumkan proklamasi mengenai kedudukan Tuanku Muhriz bertarikh 19 April lepas tidak sah, kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

AGC turut memaklumkan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Sementara itu, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan sekali lagi menegaskan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan Yang Dipertua DKU.

- Bernama